Press "Enter" to skip to content

25 Bisnes Sambilan Dari Rumah Untuk Tambah Pendapatan Keluarga

Last updated on 03/10/2022

Jom kongsi untuk manfaat bersama:

Zaman sekarang, setiap perkara perlukan duit. Dengan kekangan duit gaji, kita akan berfikir untuk buat bisnes sambilan dari rumah untuk tambah pendapatan keluarga.

Ada banyak sebenarnya peluang untuk kita tambah pendapatan. Ada yang tanpa modal, modal kecil dan modal besar.

Sebaiknya, mulakan dengan modal yang kecil tanpa sebarang pinjaman supaya jika rugi tidak membebankan kewangan keluarga.

Bak kata Pn Ainon Mohd, seorang usahawan dan mentor bisnes terkenal, “Mulakan bisnes dengan modal di bawah RM2000, supaya jika gagal hanya hilang RM2000 sahaja”.

Memang kecewa rugi RM2000 tetapi jika dibandingkan dengan duit pinjama puluh ribu, ianya lebih cepat hilang kecewa.

Bisnes sambilan dari rumah ini bermaksud, segala operasi boleh dilakukan dari rumah tanpa perlu menyewa kedai. Namun, pertemuan dengan pelanggan masih lagi boleh dilakukan di luar rumah (offline) atau dari rumah (online).

Apa yang kita perlukan adalah usaha dan tawakkal. Pasti boleh berjaya.

Perlu diingat, anda yang masih bekerja di pejabat akan secara tidak langsung menggunakan waktu kerja pejabat untuk buat bisnes ini.

Pastikan kita dapat bahagikan masa antara amanah kerja sepenuh masa dengan baik kerana melibatkan keberkatan rezeki.

Wang anda perolehi boleh digunakan untuk tampung keperluan keluarga dan juga boleh disimpan untuk kegunaan masa depan.

Mungkin boleh gunakan waktu rehat untuk berbisnes. Sebaiknya gunakan waktu tidak bekerja contohnya pada sebelah malam. Jadi, kita akan dapat berikan lebih tumpuan pada bisnes.

Walaupun bisnes sambilan dari rumah tetapi kita perlu memberi sepenuh komitmen kerana ia adalah perniagaan. Dalam istilah perniagaan tiada perkataan “part time” kerana pelanggan mahukan servis “on-time”.

Jom kita baca 25 bisnes sambilan dari rumah untuk tambah pendapatan keluarga.

1. Memasak untuk Makanan Tengahari

Memasak adalah perkara rutin dilakukan oleh suri rumah atau isteri di rumah. Jika suami, rakan dan jiran puji masakan anda sedap, bermakna ada potensi untuk dijual.

Paling mudah adalah menerima tempahan daripada rakan-rakan pejabat, jiran dan organisasi. Menu awal mungkin tidak perlu terlalu banyak kerana dalam skala kecil.

Anda boleh menjual makanan tengahari (lunch) seperti nasi ayam, mee goreng, aneka sup dan sayur-sayuran.

Untuk tarik pembeli, boleh tawarkan air percuma sebagai tambah nilai bagi pakej makanan tersebut.

2. Membuat Kuih-Muih

Tidak tahu buat kuih-muih? Jangan bimbang kerana banyak resepi di internet boleh bantu anda.

Apa yang diperlukan adalah minat dan usaha untuk pastikan kuih tersebut sedap dan berpatutan.

Kuih-muih sesuai dijual ketika awal pagi sebagai sarapan. Anda boleh pasarkan kuih-muih kepada penjaja sarapan pagi, kedai makan dan stesen minyak.

Contoh kuih-muih seperti karipap, kuih koci, lompang, pulut panggan dan sebagainya.

3. Buat Roti dan Kek

Membuat roti dan kek perlukan kemahiran khusus untuk pastikan lembut, gebu dan sedap. Tidak semua orang ada kemahiran untuk buat roti namun jika kita ada minat, setiap perkara boleh belajar.

Ada syarikat dan organisasi sediakan kursus untuk membuat roti seperti Aniz Baking Centre. Anda boleh layari laman web dan hubungi untuk mengetahui tarikh kursus.

Belajar sekali, pandai dan boleh buat banyak kali. Bagusnya, anda jimat masa try and error jika belajar sendiri dari internet.

4. Menjahit Baju dan Langsir

Permintaan untuk membuat baju ada setiap masa. Bisnes ini akan menerima tempahan lebih banyak ketika musim perayaan.

Contohnya baju kurung moden, jubah dan juga langsir. Pelanggan adalah wanita bekerja yang lebih selesa buat baju berbanding beli yang sudah siap di kedai.

Sebab utama adalah lebih selesa dan puas hati jika upah jahit. Orang kata sedap pakai.

Modal diperlukan adalah sebuah mesin jahit dan jika ada rezeki boleh juga beli mesin jahit tepi. Banyak kursus jahitan disediakan oleh kedai jahit dan pusat latihan.

Anda boleh belajar buat baju dalam masa sehari dan kemahiran tersebut dapat digunakan untuk membaiki teknik jahitan sehingga sempurna.

5. Pengasuh Bayi dan Kanak-Kanak

Permintaan mengasuh memang sentiasa anda. Dek kerana kesibukan ibu dan bapa bekerja, mereka perlukan pengasuh untuk menjaga anak mereka.

Di Lembah Klang misalnya, purata upah sebulan mengasuh di rumah bagi bayi dan kanak-kanak antara RM200 hingga RM400.

Risiko utama pengasuh rumah adalah dari segi penjagaan, keselamatan dan makanan. Jika serius, perlu mengikut undang-undang dan berdaftar seperti ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyakat Malaysia.

Sebelum memulakan bisnes mengasuh dari rumah, adalah lebih baik berhubung dengan pihak berwajib terutamanya dari segi pendaftaran dan undang-undang.

6. Fisioterapi & Urutan

Jika anda mempunyai kemahiran mengurut, satu bonus untuk buat bisnes sambilan dari rumah. Permintaan khususnya dari kalangan wanita sangat tinggi untuk fisioterapi dan urutan.

Pelanggan boleh datang ke rumah anda atau anda sendiri ke rumah mereka. Anda sendiri tentukan caj yang perlu kepada pelanggan.

Contohnya khidmat untuk:

  • Urutan wanita selepas bersalin.
  • Urutan biasa.
  • Urutan untuk masalah wanita.
  • Fisioterapi untuk sakit belakang, lutut dan bahu.

7. Jual Tudung

Saya yakin dan percaya tiada seorang wanita bekerjaya mempunyai hanya sehelai tudung. Mesti lebih dari 10 helai.

Jadi anda boleh lihat sendiri permintaan tudung sentiasa ada selari dengan trend dan zaman.

Anda boleh dapatkan bekalan daripada pemborong. Jika di Lembah Klang boleh dapatkan di Jalan Tunku Abdul Rahman (Jalan TAR), Bangunan Kenanga atau GM Klang.

Untuk bisnes tudung, anda sendiri tentukan kategori tudung yang ingin dijual sama ada bajet, sederhana atau premium.

Ada pembekal tudung menyediakan program dropship dengan modal rendah untuk anda bermula sebagai penjual.

8. Jual Pakaian Kanak-Kanak

Ini memang boleh jual hanya dari rumah. Saya pernah ada pengalaman jual barangan kanak-kanak hanya dari rumah. Beli stok dari GM Klang dan jual secara online.

Anda cuma cari baju kanak-kanak yang trending sekarang, daftar akaun Shopee atau Lazada dan boleh mula jual. Platform jualan sudah ada, cuma ambil gambar dan agresif buat pemasaran.

Boleh juga jual di Facebook, Instagram, Mudah.my dan Carousell. Banyak platform anda boleh pasarkan pakaian kanak-kanak ini.

Jika anda ada modal, boleh juga buat online shop untuk pakaian kanak-kanak dalam bentuk e-commerce. Jadi pelanggan boleh beri terus dari website anda.

Antara pakaian kanak-kanak yang popular seperti rompers, baju tidur, t-shirt, seluar dan skirt.

9. Tusyen Pelajar Sekolah

Anda ada kemahiran mengajar? Anda pelajar universiti atau cikgu sekolah?

Ini peluang terbaik untuk anda buat duit tepi dengan menawarkan khidmat tusyen dari rumah.

Sama seperti khidmat urutan tadi, anda boleh jalankan dari rumah sendiri atau datang ke tempat pelajar.

Biasanya kelas tusyen hanya menawarkan subjek sukar seperti Matematik, Matematik Tambahan, Sains dan Bahasa Inggeris.


Fokus pada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama seperti UPSR, PT3 dan SPM.

Anda mungkin tidak perlu ajar semua subjek. Untuk bisnes part time, satu subjek sudah memadai kerana kita hanya mencari sedikit wang lebihan.

Jika benar-benar serius seperti ingin membuka pusat tusyen satu hari nanti, tawarkan banyak subjek adalah lebih baik.

Untuk yuran, anda boleh tetapkan mengikut jam, sesi dan mingguan. Terpulang kepada kebijaksaan anda menentukan harga terbaik supaya kedua-dua pihak berpuas hati.

10. Pembeli Peribadi (Personal Shopper)

Dulu nak beli barang, kita sendiri memandu dan shopping di kedai. Zaman sekarang, tugas itu boleh diberikan kepada Personal Shopper.

Jika anda biasa membeli barang, anda sudah pasti boleh menjadi Personal Shopper kepada orang lain. Anda cuma perlukan senarai barangan yang ingin dibeli dan kenderaaan.

Tidak terhad kepada barang basah untuk dapur sahaja, anda boleh tawarkan untuk membeli barangan keperluan rumah, perabot, barangan elektrik dan sebagainya. Semua benda boleh!

Anda cuma perlu caj kepada perkhidmatan ini sama ada secara lump-sum atau mengikut setiap barangan dibeli. Pastikan kedua-dua pihak mendapat manfaat. Pelanggan dapat barang, anda dapat duit.

11. Cenderahati Korporat

Perniagaan cenderahati korporat adalah membekal barangan cenderahati kepada sekolah, syarikat dan organisasi.

Bisnes ini tidak perlu untuk anda menyimpan stok kerana anda bertindak sebagai orang tengah (agen) kepada kilang yang menyediakan perkhidmatan ini.

bisnes-sambilan-dari-rumah

Contoh barangan cenderahati yang popular.

Untuk menjadi agen, anda perlu mendaftar perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Daftar perniagaan jenis enterprise pun sudah memadai kerana kos lebih rendah.

Jika serius ingin buat full-time kelak, boleh pertimbangkan untuk daftar Sdn Bhd.

Anda akan dapat katalog dan senarai harga. Kemudian boleh buat pengiraan keuntungan yang diperlukan.

Biasanya antara 20% – 30% margin keuntungan. Ada cenderahati boleh dapat lebih keuntungan bergantung kepada kuantiti dan jenis.

Contoh cenderahati popular seperti payung, pen, buku nota, mug dan plaque. Lebih banyak anda dapat jual, lebih tinggi keuntungan anda perolehi.

Tugas anda cuma buat pemasaran. Selepas dapat tempahan daripada pelanggan, terus berikan kepada pembekal. Urusan penyediaan barang dan penghantaran, pihak pembekal boleh uruskan.

12. Cetakan dan Sulaman Baju

Sama seperti bisnes cenderahati korporat, anda juga bertindak sebagai agen. Pembekal biasanya tidak mengenakan caj untuk pendaftaran agen mereka. Jika mereka mengenakan caj, ianya adalah jumlah yang masih berpatutan.

Untuk bisnes baju, ada dua kategori cetakan yang biasa di buat iaitu cetakan silkscreen dan sulaman.

Contohnya t-shirt, baju berkolar dan baju korporat.

Minimum tempahan anda boleh tentukan seperti serendah 10 helai. Minimum tempahan ini biasanya ditentukan oleh pihak pembekal.

Target pelanggan anda sekolah, kelab, syarikat dan univerisiti. Mereka ini selalu adakan majlis dan aktiviti dan memerlukan baju sebagai tanda kenang-kenangan.

13. Printing Kad Kahwin

Orang nak buat majlis perkahwinan perlukan kad kahwin untuk diberikan kepada rakan-rakan sebagai jemputan.

Anda tidak perlu membeli mesin pencetak (printer) kerana kosnya terlalu mahal. Anda cuma perlu menjadi agen kepada syarikat percetakan.

kad kahwin unik

Kad Kahwin Unik. Kreatif orang zaman sekarang!

Kemudian buat pemasaran kepada rakan-rakan yang perlukan kad kahwin. Pemasaran paling mudah adalah dari mulut-ke-mulut iaitu beritahu kepada rakan dan saudara-mara terdekat.

Bisnes kad kahwin melibatkan gambar dan design. Jadi, memiliki akaun Instagram untuk pasarkan kad kahwin adalah satu keperluan.

14. Jual Makanan Kering

Anda boleh beli yang sudah dipek atau beli borong dan pek semula di rumah. Contoh makanan kering seperti kerepek dan serunding.

Untuk kerepek, anda boleh dapatkan daripada pemborong seperti di Banting, Selangor. Pilih sahaja jenis kerepek bagaimana yang laris di pasaran untuk dijual.

15. Penghantar Barangan/Kurier

Modal cuma sebuah motosikal atau kereta. Boleh gunakan kenderaan sendiri. Ambil tempahan daripada syarikat yang memerlukan khidmat penghantaran.

Saya ada rakan yang menjalankan perniagaan ini. Dia gunakan Toyota Hilux dan menghantar pelbagai jenis barangan seperti motosikal, kain pasang, sayur-sayuran dan perabot.

Untuk caj, anda boleh gunakan laman web seperti TheLorry.com untuk melihat kadar yang ditetapkan oleh pengendali lain.

16. Jual Barangan Terpakai

Rumah anda tentu ada barangan yang tidak dipakai. Contohnya kasut, perabot dan barangan elektrik.

Tukarkan kepada wang dengan menjual barangan ini. Anda boleh jual di Mudah.my, Shopee dan Carousell.

Harga jualan perlu sesuai dengan tempoh penggunaan. Mungkin dengan separuh harga asal.

Selain dapat duit, anda dapat lapangkan ruang rumah. Tidaklah ‘sakit’ mata memandang.

17. YouTuber

Era online sekarang, sangat mudah untuk buat duit hanya melalui online. Contohnya menjadi YouTuber dengan menyampaikan maklumat melalui video.

Antaranya dengan mengajar, berkongsi tips, panduan dan ulasan kepada para penonton.

Anda boleh dapat duit daripada iklan Google di video, pengiklan yang membayar anda dan juga menjual barangan anda sendiri.

https://www.youtube.com/watch?v=lgiULjgOPXQ

Contoh popular sekarang adalah Youtube Channel masakan daripada Sugu Pavithra yang ketika ini sudah mempunyai 600 ribu subscriber dengan video melebihi jutaan tontonan.

18. Menulis Artikel

Jika minat menulis dan mempunyai kepakaran dalam olahan ayat, anda juga boleh menulis artikel. Penulisan artikel boleh disiarkan di blog, akhbar dan majalah.

Caranya, anda mendaftar di website pengendali penulis seperti Fiverr dan Freelancer. Anda juga boleh hantar artikel dan dibayar jika disiarkan seperti di MauKerja.my.

19. Penterjemaah (Translator

Ini perlukan kemahiran dwi-bahasa yang baik. Contohnya anda sangat baik menguasai Bahasa Melayu dan English, jadi boleh tawarkan khidmat penterjemah kepada individu dan syarikat.

Antaranya kepada pelajar univerisiti, penulis buku dan syarikat penerbitan. Mereka memerlukan khidmat penterjemah daripada satu bahasa kepada bahasa yang lain untuk projek penulisan.

20. Agen Penapis Air

Di Malaysia ada dua jenama popular yang membuka peluang kepada anda untuk menjadi agen jualan. Coway dan Cuckoo. Bagi saya kedua-dua jenama ini sangat bagus untuk anda bermula secara sambilan.

beza coway dan cuckoo

Mana lebih baik antara Coway dan Cukcoo? Kedua-duanya baik. Kredit gambar harizcoway.com.

Bayaran dikira melalui komisyen jualan unit-unit seperti penapis air, penapis udara dan sebagainya.

21. Agen Insuran & Takaful

Anda tawarkan kepada pengguna perlindungan melalui insuran dan takaful. Antara yang popular adalah insuran nyawa dan hibah takaful.

Mungkin dahulu ramai mengelak jika bertemu dengan agen insuran. Kini, setelah banyak kesedaran kepentingan perlindungan diri dan keluarga, masyarakat sudah makin celik.

Anda boleh tawarkan kepada kenalan terdekat.

22. Agen Unit Trust

Satu lagi agen yang popular di Malaysia adalah Unit Trust. Pelanggan boleh gunakan lebihan wang atau melalui KWSP Akaun 1.

Bayaran juga melalui komisyen. Anda boleh sebarkan kebaikan kepada rakan-rakan sepejabat untuk mereka melanggan unit trust dengan anda.

23. Agen Kecantikan

Saya ada rakan yang menjalankan bisnes kecantikan secara part time. Dia jadi agen kepada syarikat kecantikan antarabangsa.

Walaupun secara sambilan dari rumah, sambutan sangat baik kerana pelanggan mendapat manfaat daripada produk yang dijual. Wajah dan kulit lebih cantik.

Contohnya dengan menjadi agen kecantikan Mary Kay dan AVON.

24. Agen Kesihatan

Sama konsepnya dengan agen kecantikan, menjadi agen produk kesihatan juga boleh dilakukan secara sambilan dari rumah.

Ada banyak pembekal tempatan menawarkan program agen dan dropship. Pilih yang sesuai dengan anda.

Lebih baik, produk tersebut anda pernah guna dan berkesan. Barulah pemasaran anda menjadi lebih baik kerana anda boleh berkongsi pengalaman sendiri kepada bakal pelanggan.

25. Membaiki Komputer dan Laptop

Ada bekerja sebagai juruteknik komputer sepenuh masa? Jadi, secara sambilan anda boleh bantu rakan-rakan yang memerlukan bantuan untuk baiki komputer.

servis repair laptopServis membaiki komputer. Kredit gambar lifewire.com

Anda boleh caj servis membaiki dan menukar alat ganti komputer. Boleh buat di rumah atau kunjungi rumah rakan-rakan anda.

Kesimpulan

Bisnes sambilan dari rumah sememangnya dapat menampung perbelanjaan keluarga. Jika kita rajin dan yakin dengan usaha yang dibuat, ia boleh bertukar menjadi bisnes sepenuh masa.

Jika sepenuh masa, hasilnya lebih baik dan kita boleh terus fokus menjalankan perniagaan tersebut.

Kami sedang menyiapkan sebuah e-book percuma senarai bisnes sambilan untuk tambah pendapatan keluarga. Kami kumpulkan 50 bisnes sambilan di dalamnya. Nantikan kemuculan e-book ini!

Apa bisnes anda buat untuk tambah pendapatan?

Jom kongsi untuk manfaat bersama:

3 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *