Waspada ‘Blind Date’. 7 Tips Selamat Ketika Blind Date

Jom kongsi untuk manfaat bersama:

Sejak perkembangan teknologi dan internet, bertemu jodoh dalam talian bukan suatu perkara yang asing lagi. Artikel kali ini kami kongsikan 7 tips selamat ketika blind date.

Ramai dalam kalangan masyarakat hari ini yang bertemu jodoh melalui aplikasi Instagram, Facebook, WeChat, Twitter dan sebagainya.

Aplikasi mencari jodoh seperti Baitul Muslim dan Till Jannah juga semakin dikenali.

Ini merupakan satu kebaikan dan kemudahan yang diperolehi melalui perkembangan teknologi masa kini. Namun tidak kurang juga mereka yang telah terpedaya dengan cinta maya ini.

Hampir saban hari terdapat laporan akhbar berkaitan mangsa penipuan cinta maya. Ada antara mereka yang terpedaya sehingga tewas di ranjang.

Ada yang kerugian ratusan malah ribuan Ringgit, ada yang terbelenggu dengan hutang piutang dan banyak lagi.

Kebiasaannya, penipu ini akan menonjolkan watak mulia, baik dan boleh dipercayai untuk memenangi kepercayaan mangsa.

Setelah mendapatkan apa yang mereka mahu, mereka hilang begitu sahaja.

Di sebabkan itu, setiap orang perlu berhati-hati terutamanya golongan wanita jika berkenalan melalui media sosial atau mana-mana aplikasi mencari jodoh.

Apa itu blind date?

Blind date bermaksud pertemuan secara sosial dengan seseorang yang tidak pernah bertemu sebelumnya, bertujuan untuk perkenalan dan hubungan romantis.

Secara ringkas, kita berjumpa seseorang yang tidak pernah berjumpa sebelum ini.

Berikut adalah beberapa langkah waspada semasa menghadiri ‘blind date’.

1. Bawa Peneman

Seelok-eloknya bawalah peneman setiap kali berjumpa dengan individu yang baru dikenali itu.

Walaupun anda mungkin telah menyerahkan kepercayaan anda kepadanya setelah bersembang, bertukar pendapat dan mengetahui latar belakangnya serba sedikit melalui online chatting.

Jika  anda perlukan privacy, peneman yang  anda bawa bersama boleh duduk selang beberapa buah meja dari tempat kalian.

Saidina Abdullah Ibn Umar R.anhuma berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

Maksudnya: Ketahuilah bahawa tidaklah berdua-duan seorang lelaki dan seorang perempuan itu melainkan yang ketiganya adalah syaitan.

Tips Selamat Ketika Blind Date

              Sumber gambar: idntimes.com

2. Pilih Tempat Terbuka

Apa lagi tips selamat ketika blind date?

Pilihlah tempat terbuka dan ramai orang seperti di restoran, café, taman permainan, pusat bowling dan mana-mana tempat yang sering mendapat kunjungan orang ramai.

Elakkan duduk berdua-duaan di tempat sunyi, gelap dan jauh dari pandangan orang ramai seperti di dalam kenderaan.

Selain itu elakkan juga memilih tempat duduk yang terasing atau tersorok di restoran.

Bimbang bila jauh dari pandangan mata orang, adegan sentuh-menyentuh pada bahagian tubuh yang tidak sepatutnya akan berlaku.

Biar ramai mata yang melihat, setidak-tidaknya rasa malu lebih besar daripada rasa berani untuk berbuat perkara buruk.

3. Duduk Berjarak

Dalam lirik lagu ‘Kalau Berpacaran’, nyanyian Anna Rafali dan Altimet ada berpesan;

Boleh pandang-pandang
Jangan pegang-pegang
Duduk renggang-renggang
Bertambah sayang
Biar malu-malu
Biar segan-segan
Kerna malu itu perisai orang beriman

penjarakkan sosial

Sumber gambar: Twitter.com

Maka duduklah dalam jarak yang selamat. Elakkan duduk terlalu rapat sehingga bersentuhan atau sehingga pasangan anda menjadi asik dengan bau wangian anda yang  membangkitkan nafsunya.

Jarak duduk yang selamat adalah 1 meter yang mustahil untuk berlaku sebarang sentuhan yang sengaja mahupun tidak.

Sentiasa ingat bahawa syaitan tidak pernah berputus asa  menghasut manusia untuk melakukan perkara yang dimurkai Allah.

Sesaat terleka, tergadai ‘mahkota’.

4. Maklumkan kepada orang terdekat tentang ‘blind date’ anda

Tips selamat ketika blind date seterusnya adalah maklumkan. Usah terlalu perahsia.

Beritahu ibu, kakak atau adik kemana kalian bercadang untuk pergi, berapa lama anggaran pertemuan anda dan serba sedikit berkaitan pasangan anda seperti nama, tempat tinggal atau tempat kerjanya.

Ibu bapa perlu ambil tahu apa yang anak anda  sedang lakukan. Jangan terlalu takut mengganggu privacy anak anda kerana mereka adalah tanggungjawab anda.

Jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini, maklumat-maklumat tersebut dapat membantu siasatan pihak berkuasa.

5. Pakaian yang selamat

Pakaian yang selamat bermaksud pakaian yang tidak mengundang imaginasi-imaginasi liar pasangan anda.

Elakkan memakai pakaian yang ketat sehingga menyerlahkan bentuk buah dada dan punggung.

Jika anda seorang yang bertudung, pilih stail lilit yang menutupi dada.

Allah berfirman dalam Surah An-Nur yang bermaksud, “Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada-dada mereka. ” (An-Nur : 31).

Sentiasalah sematkan difikiran bahawa pandang mata lelaki adalah lebih bahaya dari pandangan binatang buas.

6. Elak Topic Kewangan

Jangan sekali-kali mendedahkan keadaan kewangan anda.

Pasangan anda tidak perlu mengetahui sedalam itu melainkan kalian sudah mengikat tali pertunangan.

mengelak-penipuan-scammer

Sekiranya pasangan anda mula menceritakan tentang krisis kewangan yang dihadapi, ada dua maksud yang tersirat.

Pertama, dia mungkin berharap agar anda sabar menanti untuk dia menghalalkan anda.

Kedua, dia mula meraih simpati anda dengan harapan anda akan meminjamkannya sejumlah wang.

Dalam erti kata lain, dia cuba memperdaya anda atau mungkin seorang scammer. Jadi, jika topik kewangan mula bangkit antara kalian, segara ubah topik perbualan.

7. Awasi Barangan Penting

Jangan sekali-kali tinggalkan barang-barang berharga seperti handphone, wallet, handbag semasa ke tandas.

Anda tidak tahu apa yang boleh berlaku ketika anda pergi sebentar.

Sejauh mana anda percayakan dia, dia masih tetap orang asing yang belum pasti menjadi suami atau isteri anda.

Tambahan lagi zaman sekarang terlalu banyak ‘musang berbulu ayam’. Oleh itu berwaspadalah setiap masa dan jangan terlalu selesa.

Sebagai kesimpulan, setiap individu bertanggungjawab ke atas diri sendiri.

Adalah lebih baik untuk menaruh syak kepada manusia daripada ditipu dan hilang segala-galanya.

Moga tips ini dapat memberi kesedaran kepada pembaca bahawa maruah dan keselamatan diri wajib dijaga dengan sebaik-baiknya.

Jika anda telah bertemu dengan seorang yang anda yakin memiliki ciri seorang suami yang baik, segerakan untuk menghalalkannya.

Usahlah berhubungan terlalu lama  supaya diri terhindar dari fitnah dan dosa.

Semoga tips selamat ketika blind date ini dapat memberi panduan awal sebagai persediaan diri.

Kredit gambar: beyondthecharter.com

Jom kongsi untuk manfaat bersama:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *