Press "Enter" to skip to content

Jenis-Jenis Vaksin Covid-19 : Apa perlu anda ketahui?

Last updated on 29/07/2021

Jom kongsi untuk manfaat bersama:

Sejak wabak Covid-19 melanda awal tahun lepas, para saintis seluruh dunia bertungkus-lumus untuk mencari jalan mengatasinya – baik dari segi ubat-ubatan, teknik merawat mahupun vaksin. Dalam artikel kali ini kita akan mengupas mengenai vaksin. Dalam artikel ini, kami akan kongsikan jenis-jenis vaksin COVID-19.

Vaksin merupakan sejenis bahan yang dicipta untuk merangsang antibodi badan kita bagi melawan jangkitan kuman.

Praktis ini sudah dilakukan secara meluas sejak abad ke-16 lagi di dalam Khalifah Uthmaniyah (sumber di sini) dan mulai tersebar ke rantau Eropah.

Bermula dengan cacar air, kita sekarang sudah mempunyai vaksin untuk pelbagai jenis penyakit – batuk kering, polio, rubella, dan sebagainya.

Namun begitu, dengan kemunculan wabak terbaru yang berbahaya – Covid-19 ini, peranan vaksin mulai menarik minat rakyat marhaen di kota mahupun desa.

Vaksin Covid-19 dan jenis-jenisnya.

Umum mengetahui yang vaksin Covid-19 dikeluarkan oleh beberapa syarikat – Pfizer, AstraZeneca, Johnson&Johnson (ya, syarikat sama yang mengeluarkan produk bayi), Sinovac, Gamaleya dan beberapa lagi.

Boleh rujuk lampiran di bawah untuk jenis-jenis vaksin COVID-19 (sumber di sini):

Pfizer mRNA (vaksin genetik)
AstraZeneca viral vector (vaksin virus tiruan)
JnJ viral vector (vaksin virus tiruan)
Sinovac whole virus (vaksin virus covid yang sudah mati)
Gamaleya viral vector (vaksin virus tiruan)
Moderna mRNA (vaksin genetik)

Persoalannya, mengapa perlu ada banyak jenis vaksin? Ini disebabkan setiap dari syarikat ini menjalankan ujikaji mereka yang tersendiri berdasarkan maklumat diperolehi dari tempat bermulanya wabak Covid-19 ini – di Wuhan China.

Didapati yang virus ini berasal dari haiwan, namun berpindah ke manusia menerusi pemakanan. (rujuk sumber di sini).

Vaksin yang dihasilkan terdiri dari 4 kategori utama:

  1. vaksin genetik (mRNA – messenger Ribonucleic Acid)
  2. vaksin virus tiruan
  3. vaksin virus yang dilemahkan/mati
  4. vaksin protein virus

Dari keempat-empat kategori di atas, hanya vaksin genetik menggunakan sumber bukan virus untuk dihasilkan.

Ini dicapai dengan menggunapakai data genetik virus Covid-19 yang telah dikongsikan dengan para saintis seluruh dunia.

Secara teori, vaksin jenis ini lebih mudah, jimat dan cepat untuk dihasilkan menggunakan bahan sedia ada.

Manakala untuk vaksin jenis lain seperti vaksin virus tiruan, virus dilemahkan/mati, protein virus pula, masing-masing boleh dipecahkan lagi kepada dua sub-kategori:

  1. Vaksin virus asal Covid-19
  2. Vaksin virus tiruan

Untuk vaksin virus dilemahkan/mati dan protein, sumber utama adalah daripada virus Covid-19 itu sendiri.

Namun jangan khuatir kerana virus yang digunakan tidak lagi aktif (mati/lemah) dan tidak berpotensi untuk menyebabkan masalah kesihatan.

Sebaliknya, mereka masih mampu dikesan oleh sistem imun badan dan merangsang penghasilan antibodi.

Vaksin virus tiruan pula menggunakan jenis virus lain yang tidak berbahaya dan diubah sedikit bagi menyerupai genetik virus Covid-19 untuk merangsang sistem imun kita.

Cara vaksin berfungsi – https://www.who.int/news-room/feature-stories/detail/how-do-vaccines-work

Keberkesanan vaksin Covid-19

Punca utama mengapa wabak Covid-19 ini berbahaya adalah virus ini mudah tersebar dan menjangkiti populasi yang besar dalam waktu singkat.

Untuk manusia yang sistem imunnya normal, kebarangkalian untuk mendapat komplikasi yang besar adalah rendah, namun untuk mereka yang tua, kanak-kanak, sakit kronik virus ini mampu menyebabkan komplikasi kesihatan serius, bahkan kematian.

Untuk itulah, kita perlu wujudkan imuniti kelompok secepat mungkin agar virus ini tidak lagi mampu menyebabkan komplikasi kesihatan serius dalam kalangan masyarakat.

Vaksin-vaksin yang dihasilkan sudahpun melalui beberapa proses kajian dengan puluhan, malah ratusan ribu sukarelawan dan didapati sangat sedikit yang menghadapai komplikasi (rujuk di sini, sini, sini dan sini).

Tambahan pula, keberkesanannya melebihi sasaran ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam mengelakkan jangkitan Covid-19 mahupun komplikasi kesihatan serius disebabkan virus yang sama.

Melihat kepada faktor inilah, vaksin dipilih sebagai salah satu cara selamat bagi melindungi masyarakat khususnya golongan rentan.

Usaha kerajaan dalam memerangi wabak – Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan

Vaksin ini adalah salah satu dari usaha kita dalam memerangi wabak Covid-19 ini.

Meskipun begitu, kita harus tidak alpa dan mengabaikan langkah-langkah pematuhan SOP meskipun telah mengambil vaksin.

Ini kerana selagi imuniti kelompok belum tercapai, masih ada ruang untuk virus ini sampai kepada golongan-golongan terdedah seperti kanak-kanak, orang tua dan mereka yang lemah imuniti badan. Mencegah lebih baik dari mengubati!

status vaksinasi

Jika diperhatikan dalam ruangan belah atas gambar ini, sudah 18% daripada populasi negara kita menerima dua dos vaksin manakala 38% pula menerima satu suntikan.

Dengan sasaran 300,000 dos sehari (terkini 250,000 dos), kita dijangka mencapai sasaran 80% populasi dengan dua dos menjelang bulan Oktober 2021.

Sungguhpun begitu, pihak kerajaan menerusi Kementerian Sains Innovasi dan Teknologi telah memperhebat gerakan memvaksinasi seluruh negara.

Antaranya, sejumlah 669 lokasi pemberian vaksin telah diwujudkan serata negara dan lebih banyak akan menyusul.

Ini tidak termasuk Unit Pemvaksinan Bergerak yang akan bergerak ke lokasi-lokasi ditentukan bagi mencapai seramai mungkin penduduk.

Oleh itu, bagi mereka yang masih belum mempunyai temujanji vaksinasi boleh mengunjungi laman web ini –https://www.vaksincovid.gov.my/daftar/ .

Pastikan anda rajin melihat kepada status MySejahtera di fon masing-masing untuk memastikan maklumat yang diisi adalah terkini dan tidak terlepas temujanji.

Jom kongsi untuk manfaat bersama:

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *