5 Perkara Perlu Dilakukan Jika Positif Covid-19
Sudah hampir dua tahun negara kita Malaysia dilanda wabak Covid-19. Angka korban wabak ini telahpun mencecah 16,000 dan kematian akibat wabak ini terus berlaku hari demi hari.
Walaubagaimanapun, usaha kerajaan mempercepatkan program vaksinasi sedang membuahkan hasil apabila kes-kes kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan semakin menurun.
Ini kerana 90% daripada kes baharu positif Covid-19 tidak bergejala atau bergejala ringan sahaja.
Meskipun pihak Kementerian Kesihatan Malaysia menyeru semua rakyat Malaysia untuk mendapatkan vaksin supaya imuniti kelompok dapat dicapai dengan segara, namun masih ada golongan yang ragu-ragu dan menolak vaksin.
Golongan ini masih bertahan dengan prinsip mereka wal hal jika seluruh rakyat Malaysia segera capai imuniti kelompok, keseriusan gejala dapat dikurangkan dan kita boleh kembali hidup seperti biasa, menjalankan aktiviti ekonomi, pelancongan dan pulang menziarah orang tua di kampong.
Memandangkan wabak ini belum ditemukan pengakhirannya, setiap individu harus mematuhi SOP yang ditetapkan apabila berurusan diluar atau ditempat kerja untuk mengelakkan berlakunya jangkitan Covid-19.
Sekiranya anda mengalami sebarang gejala seperti demam, selesema, sakit tekak, hilang deria bau dan rasa, segera lakukan ujian calitan(swab test) atau ujian air liur menggunakan test kit yang boleh didapati dari farmasi.
Apa yang perlu anda buat jika anda didapati positif Covid-19? Berikut adalah 5 perkara wajib yang anda perlu lakukan jika anda positif Covid-19.
1. Maklumkan kepada KKM
Selepas mengetahui keputusan ujian calitan atau ujian air liur bahawa anda positif covid-19, anda wajib memaklumkan kepada KKM.
Anda boleh mengemaskini maklumat berikut di aplikasi MY Sejahtera atau menghubungi Bilik Gerakan Covid-19 di daerah anda.
Hal ini penting supaya pihak KKM dapat mengenalpasti kontak rapat anda selain bertujuan bagi mengesan anda untuk pemakaian ‘gelang pink’ atau arahan kuarantin wajib.
Nombor telefon bilik gerakan covid-19 di setiap negeri boleh didapati seperti berikut:
Sumber: https://covid-19.moh.gov.my/hotline
2. Kuarantin
Sebaik saja anda disahkan dijangkiti virus dan positif Covid-19, anda perlu mengasingkan diri serta merta.
Jika anda tinggal bersama keluarga atau rakan-rakan, maklumkan kepada mereka terlebih dahulu supaya mereka berjaga-jaga dan maklum bahawa anda perlu kuarantin selama 14 hari.
Maklumkan juga kepada saudara-mara agar mereka tidak datang berkunjung ke rumah anda selama tempoh kuarantin.
Pastikan anda memakai pelitup muka di dalam rumah dan menjarakkan diri sekurang-kurangnya 1 meter dari ahli rumah yang lain.
Jika anda mengalami selesema dan sering menggunakan tisu, pastikan tisu yang telah digunakan dibuang di dalam tong sampah.
Selain itu anda perlu pastikan peralatan dalam keadaan selamat seperti berus gigi, pencukur, cawan, pinggan dan sudu yang anda guna diasingkan dan tidak digunakan oleh orang lain.
Adalah menjadi tanggungjawab anda untuk memastikan orang disekeliling anda tidak dijangkiti virus Covid-19.
Namun begitu, jika tempat tinggal anda terlalu padat sehingga menyukarkan anda untuk mengasingkan diri dari ahli yang lain, sebaiknya anda hubungi pihak KKM untuk dapatkan bantuan daripada mereka.
Anda mungkin akan ditempatkan di pusat kuarantin jika ada kekosongan.
3. Pemantauan Kendiri
Pemantauan kendiri atau pemantauan secara maya bermaksud anda memeriksa keadaan kesihatan anda sendiri dan anda perlu ‘update’ keputusannya setiap hari di aplikasi My Sejahtera atau mesej secara terus dengan pegawai kesihatan.
Anda perlu memeriksa suhu badan, kepekatan oksigen (SpO2) dan tekanan darah. Pegawai kesihatan akan menghubungi anda dari semasa ke semasa selepas mereka melihat keputusan yang anda kongsikan.
Oximeter adalah alat untuk memeriksa tahap kandungan oksigen. Boleh beli dan guna dari rumah.
4. Pergi ke CAC jika bergejala
Sekiranya anda bergejala dan dalam masa yang sama anda mempunyai masalah kesihatan seperti athma, tekanan darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, kanser atau penyakit-penyakit kronik yang lain, anda boleh terus pergi ke Pusat Penilaian Covid (CAC) yang berdekatan.
Pastikan anda mengenakan pelitup muka dua lapis dan menggunakan hand sanitizer semasa mendapatkan pemeriksaan di CAC.
5. Pergi ke Kecemasan jika rasa sesak nafas.
Sekiranya anda mengalami sesak nafas, tercungap-cungap atau pernafasan menjadi laju, anda perlu segera ke jabatan kecemasan hospital yang terdekat.
Minta ahli keluarga atau rakan untuk menghantar anda ke sana.
Elakkan memandu sendiri.
Sepanjang anda menjalani perintah kuarantin, ambil supplement yang membantu mengekalkan kesihatan seperti pengambilan vitamin C dan B complex selain mengamalkan makanan yang bagus dan memberikan tenaga seperti madu dan kurma.
Tubuh badan anda perlu kuat untuk terus melawan virus tersebut.
Meskipun wabak ini telah lama melanda negara kita, namun masih ramai yang tiada pengetahuan tentang bagaimana untuk mendapatkan bantuan dan rawatan jika dijangkiti virus ini terutama warga emas dan penduduk di kawasan pedalaman.
Sinar Harian melaporkan, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata:
80 peratus daripada kes kematian sebelum tiba di hospital (BID) akibat Covid-19, didapati mangsa tidak pernah didiagnos dengan penyakit tersebut. Mereka ini sama ada tidak mempunyai akses untuk melakukan diagnos atau tidak pernah tampil untuk membuat ujian.
Semoga penulisan ini dapat membantu mereka diluar sana yang masih tidak tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya dijangkiti Covid-19.
Peperangan melawan wabak ini masih belum berakhir, rakyat Malaysia perlu terus kuat untuk mencapai imuniti kelompok!
Rujukan: