70 Peribahasa Menarik yang Jarang Kita Dengar
Peribahasa adalah ungkapan, ayat atau susunan kata yang mempunyai maksud yang tertentu. Peribahasa menarik sangat digemari oleh ramai orang kerana selain maksudnya yang mendalam, bentuk susunan perkataan juga sangat puitis.
Dalam karangan dan penulisan bahasa Melayu misalnya, banyak diselit dengan peribahasa Melayu. Tahukah anda, jumlah peribahasa sangatlah banyak hingga ada yang kita tak pernah dengar.
Jadi, artikel kali ini kami kumpulkan 70 peribahasa menarik yang jarang kita dengar untuk sama-sama dapat manfaat dari maksud dan pengajaran.
1. Katak Hendak Jadi Lembu
Maksudnya: Ingin melakukan sesuatu perkara yang melebihi kemampuan sendiri seperti hendak menyamai orang besar, orang kaya dan sebagainya.
2. Ibarat Telur Sesangkak, Pecah Sebiji, Pecah Semua
Maksudnya : kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya.
3. Untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
Maksudnya : Orang lelaki yang merisik bakal isterinya.
Baca: Ketahui 5 Website Cari Jodoh yang Sesuai dan Selamat di Malaysia
4. Sungguh kawat yang dibentuk, ikan ditebat yang diadang
Maksudnya: Tipu muslihat yang tersembunyi semata-mata ingin mengaut keuntungan diri sendiri.
5. Intan dikalungkan di leher anjing
Maksudnya: Memberi sesuatu barang atau nasihat kepada orang yang tidak mahu atau bukan pada tempatnya.
6. Mengembalikan manikam ke dalam cembulnya
Maksudnya: Memikirkan kembali apa yang telah dikatakannya.
7. Kilat beliung sudah di kaki, kilat pisau sudah ke tangan, kilat cermin sudah ke muka
Maksudnya; Orang yang bijak mudah menangkap atau mamatahkan kata atau kias seseorang.
8. Dalam menunduk dia menyonggeng
Maksudnya: Walaupun luarannya (zahir) dapat menerima dengan baik tetapi hatinya (batin) membantah.
9. Dikulum menjadi manikam, dimuntahkan menjadi sekam
Maksudnya: Menjadi diam lebih baik daripada berkata-kata.
10. Enggang apa kepada enggang; orang apa kepada orang
Maksudnya: Memang mudah bercakap dan memberi arahan tetapi sukar untuk dilaksanakannya.
11. Bagai belacan dikerat dua: yang pergi busuk, yang tinggal hanyir
Maksudnya: Perkara yang mendatangkan keburukan (aib) kepada kedua-dua pihak.
12. Apa sakit berbini janda, anak tiri boleh disuruh
Maksudnya: Alasan yang diberikan berbeza dengan maksud sebenar.
13.Laksana bunga dedap, sungguh merah berbau tidak
Maksudnya: Orang yang cantik tetapi tiada budi bahasa dan perangai.
14. Elok basa kan bakal hidup, elok budi kan bakal mati
Maksudnya: Orang yang baik bahasanya menjadi kesayangan ketika hidup. Sesudah meninggal menjadi ingatan orang.
15. Berhampar lapik, berlicin daun
Maksudnya: Muafakat mencari jalan penyelesaian terbaik dengan setulus hari. Tiada menyembunyikan perasaan buruk.
16. Batu pun empuk, jangankan hati manusia
Maksudnya: Perkataan yang baik dan lemah lembut dapat menawan hati yang keras.
17. Umpama semut mempersembahkan paha belalang kepada raja
Maksudnya: Pemberian yang sia-sia atau tiada ertinya.
18. Cencang dua segeragai
Maksudnya: Sekali buat dapat menyelesaikan dua tiga pekerjaan.
19. Dikati sama berat, diuji sama merah
Maksudnya: Pangkat, jawatan atau kedudukan yang sama taraf.
20. Sampai bersalam, pulang berterajang
Maksudnya: Datang ke tempat orang dengan nama baik tetapi pulang dengan nama yang buruk.
21. Buat di alang tahun, belayar di luar musim
Maksudnya: Melakukan sesuatu perkara tidak kena pada masanya.
22. Manusia tahan kias, binatang tahan palu
Maksudnya: Mengajar manusia dengan kiasan, mengajar haiwan dengan pukulan.
23. Rantai besi dimakan bubuk
Maksudnya: Cerita mengarut atau cerita tak masuk akal.
24. Tegang berjela-jela, kendur berdenting-denting
Maksudnya: Pemerintah yang baik di dalam keras ada lunaknya, juga di dalam lunak ada kerasnya.
25. Api padam puntung berasap
Maksudnya: Perkara yang telah selesai tetapi diungkit kembali.
26. Orang itu empat gasal, lima genap
Maksudnya: Orang yang suka membantah dan berlainan pendapat dari kebanyakkan orang.
27. Buruk muka cermin dibelah
Maksudnya: Diri sendiri yang tidak bijak tetapi orang lain dipersalahkan.
28. Dikacak betis sudah bak betis, dikacak lengan sudah bak lengan
Maksudnya: Seseorang yang menyangka dirinya sudah hebat dari segi akal dan harta sehingga tidak perlukan bantuan orang lain lagi.
29. Jangan menumbuk di periuk, bertanak di lesung
Maksudnya: Jangan membuat sesuatu perkara yang melanggar kebiasaan.
30. Segigi tajam bertimbal, nak hujung pangkal menjelma
Maksudnya: Orang yang mempunyai dua pendirian.
31. Longgar sendat lapang bertukul
Maksudnya: Berpura-pura menerima kebenaran padahal hakikatnya tidak begitu.
32. Di mana tumbuh, di situ disiang
Maksudnya: Jika terjadi suatu perkara atau perselisihan, hendaklah diperiksa dan diselesaikan di situ juga.
33. Belum Bertaji Sudah Berkokok
Maksudnya: Seseorang yang belum cukup ilmu tetapi sombong dan berlagak pandai
34. Bagai Kambing Dihalau ke Air
Maksudnya: Seseorang yang tidak mahu membuat perkara yang tidak disukainya.
35. Ingat Antara Belum Kena, Hemat Antara Belum Habis
Maksudnya: Beringat agar tidak diperdaya. Berjimat agar harta tidak habis dengan sewenang-wenangnya.
36. Air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam
Maksudnya: Perasaan yang amat sedih sehingga tiada selera makan dan minum
37. Burung terbang dipipiskan lada
Maksudnya: Bersedia meraikan sesuatu yang belum diperolehi.
38. Cakap berlauk-lauk makan dengan sambal lada
Maksudnya: Bercakap seperti orang kaya tetapi sebenarnya miskin.
39. Celaka ayam, padi masak makan ke hutan
Maksudnya: Seseorang yang bernasib malang
40. Di lurah maka hendak angin, di bukit maka hendak air
Maksudnya: Inginkan sesuatu tidak kena pada tempatnya.
41. Seliang bagai tebu, serumpun bagai serai
Maksudnya: Sepakat dalam membuat sesuatu perkara, sama ada sama-sama susah atau sama-sama senang
42. Anjing ditepuk menjungkit ekor
Maksudnya: Seseorang yang tidak baik apabila dihormati bertambah sombong
43. Adat juara kalah menang, adat saudara laba rugi
Maksudnya: Dalam kehidupan, kita akan menghadapi nasib baik dan malang.
44. Sekepal menjadi gunung, setitik menjadi laut
Maksudnya: Walaupun nasihat diberikan hanya sedikit tetapi tetap bernilai.
45. Laut ditimba tidak akan kering
Maksudnya: Tidak habis ilmu seseorang yang pandai selagi beliau masih hidup.
46. Yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksudnya: Adat lama tetap diamalkan walaupun hidup dalam budaya baru.
47. Air beriak tanda tak dalam
Maksudnya: Banyak bercakap tanda tidak berilmu.
48. Ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan
Maksudnya: Walaupun kaya ataupun miskin tetapi hidup menderita di negara yang kaya dan makmur
49. Biar jatuh terletak jangan jatuh terhempas
Maksudnya: Lebih baik menarik dari dari dibuang atau diberhentikan dengan tidak terhormat.
50. Hendak belajar berenang dapatkan itik, hendak belajar memanjat dapatkan tupai
Maksudnya: Jika hendak menjadi mahir perlu belajar dengan yang pakar
51. Jika ada kemeyan sebesar lutut pun, jika tidak dibakar tidak akan berbau
Maksudnya: Ilmu dan kebijaksanaan perlu perlu diajar kepada orang lain, kalau disimpan akan hilang begitu sahaja.
52. Seperti aur ditarik songsang
Maksudnya: Pekerjaan yang susah diselesaikan kerana tersilap jalan.
53. Adat sepanjang jalan, cupak sepanjang betung
Maksudnya: Segala perbuatan ada aturan dan adat tersendiri.
55. Agung susut, pongah masih
Maksudnya: Kebesaran dan kehebatan sudah hilang, tetapi masih angkuh.
56. Bagai bajak wangkang makan diangkat
Maksudnya: Orang yang suka dipuji.
57. Bagai biawak mengulangi bangkai
Maksudnya: Lelaki yang suka pergi ke tempat perempuan jahat.
58. Calak-calak ganti asah, menanti tukang belum datang
Maksudnya: Dipakai untuk sementara waktu saja sekadar untuk mencukupi keperluan sementara belum ada yang lebih baik.
59. Daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik mati berkalang tanah
Maksudnya: Lebih baik mati daripada menanggung malu.
60. Empang sampai ke seberang, dinding sampai ke langit
Maksudnya: Pergaduhan yang tak dapat didamaikan lagi. Peraturan yang tak dapat diubah.
61. Entak sedegam, langkah sepijak
Maksudnya: Muafakat dan seia sekata.
62. Gajah lalu dibeli, kusa tidak terbeli
Maksudnya: Membuat sesuatu yang besar, tetapi melupakan hal-hal yang kecil-kecil yang perlu untuk menyelesaikan perkara besar tersebut.
63. Habis kuman disembelih hendak memberi makan gajah
Maksudnya: Menyusahkan orang bawahan kerana hendak menyenangkan orang-orang besar
64. Hendak menangguk ikan, tertangguk akan batang
Maksudnya: Hendakkan untung tetapi rugi yang diperoleh.
65. Inai tertepung, kuku tanggal
Maksudnya: Usaha yang tidak dapat hasilnya kerana terjadi kemalangan.
66. Isi lemak dapat ke orang, tulang bulu pulang ke kita
Maksudnya: Kita yang berusaha tetapi orang lain yang mendapat senang.
67. Jahit sudah, kelindan putus
Maksudnya: Habis atau selesai sama sekali.
68. Kaki pekuk lenggang ke perut
Maksudnya: Orang yang hodoh dan buruk.
69. Lain bengkak lain bernanah
Maksudnya: Orang lain yang bersalah, orang lain pula yang menanggung akibatnya.
70. Malam berselimut embun, siang bertudung awan
Maksudnya: Sangat melarat dan miskin, tiada mempunyai rumah tangga.
Anda ada peribahasa menarik untuk dikongsi? Jom komen di bawah.
Rujukan: Dewan Bahasa dan Pustaka, Peribahasa.info, ipendidikan.my, senaraiperibahasa.com