Sayangi Keluarga? Ini 6 Kepentingan Insurans Nyawa dan Perubatan Kepada Keluarga

Let's share with your friends:

Malang tak berbau. Kita tidak pasti bila musibah berlaku. Jadi, artikel kali ini, saya kongsikan 6 kepentingan insurans nyawa dan perubatan kepada keluarga supaya kita sebagai ketua keluarga dapat bersedia untuk keluarga tersayang.

“Sediakan Payung Sebelum Hujan, Sediakan Pelampung Sebelum Tenggelam.”

Insurans dan takaful dalam bahasa mudah difahami adalah manfaat perlindungan daripada syarikat kepada individu atau keluarga. Biasanya pampasan dalam bentuk wang ringgit.

Terma insurans merujuk kepada konvensional, sementera terma takaful adalah perlindungan secara Islamik dan patuh syariah.

Dalam artikel ini saya akan bahasakan perkataan “insurans” untuk mewakili dua terma ini supaya anda lebih mudah faham kerana perbualan harian kita menyebut insurans.

Insuran kepada keluarga biasanya ada dua jenis iaitu insurans nyawa dan juga insurans perubatan.

Apa itu Insurans Nyawa?

Insurans nyawa atau disebut juga insurans hayat ini memberi pampasan ke atas kematian atau kecacatan kepada pemegang polisi.

Jika anda sebagai suami mengambil insurans nyawa, jadi penama kepada polisi mungkin kepada isteri dan anak-anak.

Mereka akan menerima manfaat sebagai perlindungan bagi pihak anda jika berlaku sebarang musibah.

Apa itu Insurans Perubatan?

Bertujuan untuk menampung kos perubatan jika pemegang polisi menerima rawatan di hospital.

Rawatan boleh disebabkan oleh pembedahan, penyakit kronik, kemalangan dan yang berkaitan kesihatan anda.

Insurans perubatan memberi jaminan wang mengikut jenis penyakit mengikut jumlah bayaran bulanan (premium) anda.

Semakin tinggi premium dibayar, lebih banyak perlindungan kewangan anda akan dapat.

Begitu juga, semakin berisiko kesihatan anda dan berumur, semakin tinggi premium bulanan perlu dibayar.

Manfaat insurans perubatan adalah seperti:

  • Perlindungan dari penyakit kritikal
  • Insuran untuk kemasukkan hospital
  • Insuran hilang upaya dan kecacatan
  • Insuran semasa berada di wad hospital

Antara syarikat insurans nyawa dan perubatan terkenal di Malaysia adalah:

  • Prudential BSN Takaful
  • AIA Public Takaful
  • Etiqa Insurans dan Takaful
  • Takaful Ikhlas
  • FWD Takaful Malaysia
  • AXA Malaysia
  • Manulife Malaysia
  • Great Eastern Takaful

Anda boleh buat perbandingan dengan menghubungi agen insurans untuk mendapat maklumat lanjut. Dapatkan info yang jelas sebelum menyertai mana-mana syarikat.

Sebelum itu, ingin ditegaskan saya bukan agen insurans dan post ini tidak mempromosi mana-mana individu/agen insurans.

Perkongsian ini untuk kita mendapat manfaat sangat penting mempunyai insurans untuk perlindungan diri dan keluarga.

6 Kepentingan Insurans Nyawa dan Insuran Perubatan kepada Keluarga

Penting sebab:

1. Duit Tunai Tidak Cukup

Ini lebih kepada insurans perubatan. Apabila terjadi kemalangan atau masalah kesihatan serius, kita perlukan banyak wang untuk tujuan rawatan.

Sedia maklum,  rawatan seperti pembedahan memerlukan kos yang banyak. Boleh lihat ringkasan di bawah:

kos-rawatan-hospital-swasta-kerajaan

Anggaran kos rawatan perubatan di hospital kerajaan dan hospital swasta. Sumber: ringgitplus.com

Contohnya kos pembedahan batu karang di Malaysia dianggarkan antara RM9,000 hingga RM40,000 di hospital swasta. Jika di hospital kerajaan pun, kosnya boleh mencecah sehingga RM10,000.

Ini tidak termasuk lain-lain kos seperti konsultansi, x-ray, ujian darah dan sebagainya yang boleh mencecah ribuan ringgit lagi.

Saya yakin dan percaya, tidak ramai daripada kita mempunyai tunai (cash) yang cukup untuk membayar kos sebegini.

Jadi perlunya insurans untuk menampung kos rawatan. Ia adalah perlindungan kepada kewangan. Dengan bayaran bulanan insurans yang rendah, kita boleh menikmati tunai yang banyak.

Kenapa tidak lakukan pembedahan di hospital kerajaan? Jawapan pada poin berikutnya.

2. Ingin Cepat Terima Rawatan

Sakit yang mencengkam sehingga meraung-raung memang perlukan rawatan segera. Dengan insurans perubatan, kita boleh terima rawatan lebih pantas di hospital swasta.

Bukan menidakkan keupayaan hospital kerajaan tetapi dengan jumlah pesakit yang ramai menyebabkan tempoh terima rawatan akan jadi sedikit lewat.

menunggu-terima-rawatan

Penat menunggu giliran

Anda mungkin terpaksa menunggu giliran disebabkan ramai berada di senarai menunggu untuk menerima rawatan.

Nak cepat, pergi ke hospital swasta.

Jika anda cepat mendapat rawatan, peratusan sembuh juga akan menjadi lebih cepat.

3. Bayar Sikit Dapat Banyak

Bayar hanya beberapa ratus tetapi dapat perlindungan berpuluh ribu.

Contohnya, anda membayar insurans perubatan sebanyak RM200 sebulan. Sehingga hari ini, sudah 2 tahun anda membayar. Jadi keseluruhan wang telah dibayar sebanyak RM2,400.

Ditakdirkan (minta dijauhkan sebarang bencana) ada mengalami sakit dan memerlukan pembedahan. Kos rawatan mencecah RM50,000.

Dengan kos hanya RM2,400 anda sudah boleh menerima rawatan berharga RM50,000. Kurang stress untuk fikirkan mengenai duit. Harapan untuk buat rawatan juga lebih cerah kerana anda ada duit.

Orang cakap, duit boleh cari. Betul! Tetapi jika anda sakit dan perlukan duit segera, mana nak ‘cekau‘ duit berpuluh-puluh ribu untuk buat pembedahan.

Pinjam Along? Jangan cari nahas.

Jadi bayaran yang sedikit tetapi pulangan yang menguntungkan adalah satu pelaburan bijak untuk diri sendiri dan keluarga.

Di sini, anda makin sedar tentang pelaburan dan kepentingan insurans kepada keluarga.

Jangan biar nasi menjadi bubur.

4. Perlindungan Kepada Keluarga dan Anak-Anak

Bagi saya, ini adalah point paling utama tentang kepentingan insurans nyawa kepada keluarga.

insurans keluarga

Anda seorang yang bijak jika fikir panjang mengenai masa depan mereka. Takdir Tuhan jika kita ‘pergi’ dahulu, apa nasib isteri dan anak-anak kelak? Takkan nak mengemis untuk teruskan hidup.

Sebagai seorang bapa atau ketua keluarga yang bertanggungjawab, sangat perlu mempunyai insurans nyawa sebagai persediaan.

Jika berlaku kematian, wang pampasan insuran dapat digunakan oleh penama (isteri atau anak-anak).

Mereka dapat teruskan hidup tanpa stress memikirkan dari mana nak cari duit. Sekurang-kurangnya, ada wang untuk mereka menjalani hari-hari mendatang.

5. Membayar Hutang

Benda tak boleh lari di dunia adalah hutang. Rakyat Malaysia khususnya menjadikan hutang sebagai perkara ‘wajib’.

Ada sahaja hutang dibuat seperti hutang pinjaman kereta, hutang pinjaman peribadi, hutang pembiayaan rumah dan hutang pinjaman pendidikan.

Pada tahun 2019, hutang isi rumah rakyat Malaysia adalah sangat tinggi iaitu 82.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pinjaman perumahan adalah pecahan tertinggi dalam jenis-jenis hutang.

Itu tidak dikira lagi hutang dengan rakan-rakan, keluarga dan orang lain.

Sesetengah perkara tidak dapat lari dari hutang kerana majoriti daripada kita tidak ada tunai yang banyak di tangan.

Jadi, berhutang adalah pilihan yang ada tetapi pastikan hutang itu bermanfaat untuk diri sendiri dan keluarga.

Untuk tips, selain guna duit gaji untuk membayar hutang, ibu bapa juga boleh buat bisnes part-time untuk tampung perbelanjaan.

Pampasan insurans yang diterima oleh waris boleh digunakan untuk membayar semua hutang si mati. Perlu diingat, hutang perlu dibayar walaupun penghutang sudah tiada.

Menjadi tanggungjawab waris untuk melangsaikan hutang melalui pampasan insurans untuk mengelakkan sebarang masalah seperti perbalahan dan hakmilik di tarik.

6. Mendapat Potongan Cukai

Tahukah anda, dengan memiliki insurans kita boleh dapat pelepasan cukai. Insurans hayat boleh dapat potongan sehingga RM6,000.

Untuk insurans kesihatan pula boleh dapat sehingga RM3,000. Rujuk laman web LHDN untuk maklumat lanjut potongan cukai insurans.

Kesimpulan

Jelas, kepentingan insurans nyawa dan perubatan kepada anda dan keluarga. Jika belum ada, ini masa terbaik untuk anda miliki.

Tidak salah melabur untuk kesenangan akan datang. Kita tidak tahu apa akan terjadi pada masa hadapan. Jadi, persediaan penting untuk hadapi waktu sukar tersebut.

Dalam banyak kes, waktu kita senang ramai orang akan datang. Namun, waktu susah kita sendiri yang hadapi.

Dengan adanya insurans, hidup keluarga pun rasa tenang sebab kita tahu, akan datang insya-ALLAH sudah terjamin.

Anda ambil insurans atau takaful? Jom kongsi pengalaman di ruangan komen di bawah.

Let's share with your friends:

3 thoughts on “Sayangi Keluarga? Ini 6 Kepentingan Insurans Nyawa dan Perubatan Kepada Keluarga

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *