Hari Keputeraan Sultan Selangor – 11 Disember
Hari Keputeraan Sultan Selangor disambut pada 11 Disember setiap tahun sebagai penghormatan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Acara ini merupakan salah satu peristiwa penting dalam kalendar negeri Selangor dan disambut dengan penuh kemeriahan serta pelbagai upacara adat istiadat diraja.
Pada tanggal inilah, seluruh rakyat Selangor diberikan cuti umum sebagai tanda penghormatan kepada Sultan mereka.
Siapakah Sultan Selangor sekarang?
Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang menaiki takhta pada 22 November 2001, adalah Sultan Selangor yang ke-9 selepas kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Baginda diputerakan pada 24 Disember 1945 di Istana Jemaah, Klang, Selangor dan dimahkotakan pada 8 Mac 2003.
Baginda ialah anak sulung daripada enam orang adik-beradik. Adik-beradik yang lain ialah Tengku Puteri Sofiah, Tengku Sulaiman Shah (Tengku Laksamana Selangor), Tengku Puteri Seri Zanariah, Tengku Abdul Samad Shah (Tengku Panglima Besar Selangor), Tengku Puteri Arafiah dan Tengku Puteri Aishah.
Baginda mempunyai seorang putera, iaitu Tengku Amir Shah yang kini merupakan Raja Muda Selangor.
Baginda pernah menjadi pegawai di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Daerah Kuala Lumpur dan pejabat Polis Kuala Lumpur.
Hari Keputeraan Baginda disambut bukan sahaja untuk memperingati kelahiran Sultan, tetapi juga untuk menghormati peranan dan sumbangan Baginda sebagai Ketua Negeri Selangor.
Sultan Sharafuddin dikenali sebagai seorang raja yang prihatin terhadap rakyat dan negeri, serta memainkan peranan aktif dalam memastikan kestabilan politik dan pembangunan ekonomi Selangor.
Acara dan Sambutan Semasa Hari Keputeraan Sultan Selangor
1. Upacara Penganugerahan
Salah satu acara utama ialah Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang, dan Pingat yang diadakan di Istana Alam Shah, Klang.
Pada majlis ini, Sultan Selangor akan menganugerahkan gelaran kehormat, pingat, dan darjah kebesaran kepada individu yang berjasa kepada negeri dan negara.
2. Solat dan Doa Selamat
Di masjid-masjid utama, solat hajat dan doa selamat diadakan untuk mendoakan kesejahteraan Sultan serta rakyat negeri Selangor. Ia turut dihadiri oleh pegawai kerajaan, rakyat jelata, dan pihak istana.
3. Istiadat Diraja
Beberapa upacara adat istiadat diraja turut diadakan sebagai tanda penghormatan kepada Sultan dan institusi kesultanan.
Upacara ini sering melibatkan perarakan diraja dan istiadat tabik hormat oleh Angkatan Tentera Malaysia serta Pasukan Polis Diraja Malaysia.
3. Program Amal dan Sosial
Sebagai sebahagian daripada sambutan, beberapa program amal dan kebajikan juga diadakan untuk membantu golongan yang memerlukan, di bawah naungan Sultan dan kerabat diraja Selangor.
4. Cuti Umum Negeri Selangor
11 Disember juga merupakan hari cuti umum di negeri Selangor, yang membolehkan rakyat Selangor meraikan sambutan ini bersama keluarga serta menghadiri acara-acara rasmi yang diadakan di pelbagai lokasi di seluruh negeri.
Hari Keputeraan Sultan Selangor bukan sahaja menonjolkan warisan dan adat istiadat kesultanan, tetapi juga memupuk perpaduan dan semangat kekitaan di kalangan rakyat Selangor.
Sambutan ini menjadi simbol perpaduan antara institusi diraja dengan rakyat, serta penghormatan kepada nilai-nilai tradisi yang dijunjung tinggi oleh negeri.
Kredit gambar: x.com/selangorfc