20 Ciri-ciri Suami Terbaik Idaman Setiap Isteri
Suami yang baik adalah satu rezeki yang tak ternilai buat para isteri. Jika ada anak, mempunyai ciri suami terbaik ini akan membentuk satu keluarga yang bahagia.
Sebagai isteri bukan wang ringgit yang diperlukan untuk membentuk keluarga bahagia. Ada orang kaya, hidup serba mewah tetapi tidak bahagia kerana suaminya tidak bertanggungjawab.
Suami yang tidak bertanggjawab boleh menyebabkan huru-hara rumah tangga dan paling menyedihkan membawa kepada perceraian.
Sumber: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat & Bernama
Jadi apa ciri suami terbaik yang menjadi idaman para isteri. Jom baca 15 ciri-ciri di bawah:
1. Ajar dan Bimbing Isteri Ke arah Agama
Sebagai seorang Muslim, perkara paling utama adalah dapat membawa isteri dan anak-anak berpegang teguh kepada ajaran Islam.
Suami boleh menjadi imam solat fardhu, ajarkan baca Al-Quran dan tunjuk tauladan para nabi kepada anak-anak.
Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata kami melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. Surah Al-Furqan, ayat 74
Kita semua tidak sempurna, mungkin ada suami yang kurang arif ilmu agama tetapi usaha ke arah agama itu paling diperlukan.
Boleh sama-sama ikuti kelas agama yang ada di masjid dan Internet. Boleh juga membaca buku-buku agama.
Suami boleh juga bertanya kepada rakan-rakan yang arif tentang agama.
Semua perkara ini akan membawa keluarga ke arah lebih dekat dan diredhai Allah.
Pada akhirnya, kita akan kembali mengadap Ilahi dengan segala amal baik yang kita lakukan di dunia.
2. Rajin Berusaha Mencari Rezeki
Ciri suami terbaik berikutnya adalah rajin berusaha mencari rezeki untuk keluarga.
Contohnya, rajin bekerja, tidak malas dan sentiasa mahu menambah pendapatan keluarga.
Asalkan rezekinya halal dan diberkati. Sebagai seorang suami sudah pasti mahukan rezeki terbaik seperti makanan untuk diberikan kepada isteri dan anak-anak.
3. Bijak Urus Duit
Duit gaji diurus dan digunakan dengan sebaiknya. Suami yang bijak akan aturkan wang untuk perbelanjaan dapur, nafkah isteri dan keperluan anak-anak.
Mengurus wang adalah satu ilmu penting kepada keluarga. Jangan sampai ‘tercekik’ di tengah bulan gara-gara berbelanja tanpa perancangan.
Selain berbelanja, seorang suami juga perlu merancang untuk menyimpan wang untuk kegunaan ketika sukar nanti.
Beli itu dan ini dah akhirnya duit habis tetapi tidak nampak apa-apa dibeli.
Ada juga suami memberikan duit bulanan kepada isteri untuk diuruskan. Suami begini lebih yakin kepada isterinya berbanding diri sendiri.
Bimbang, jika duit di tangan cepat habis dibelanjakan ke tempat lain.
4. Bantu Basuh dan Sidai Pakaian
Dunia sekarang rasanya susah nak jumpa basuh baju pakai tangan. Banyak sudah guna mesin basuh. Membantu isteri basuh dan sidai baju juga satu ciri suami terbaik idaman wanita.
Hanya masukkan baju, tunggu sejam dua dan siap. Kemudian sidai. Basuh baju tidak perlu mengadap mesin basuh sehingga tidak boleh kerja lain.
Waktu menunggu boleh buat perkara lain seperti poin seterusnya di bawah.
5. Tolong Memasak Di Dapur
Sementara tunggu baju siap di basuh, boleh tolong isteri memasak. Ada suami dikurniakan bakat pandai memasak. Bonus sangat besar kepada isteri.
Namun tidak semua suami pandai memasak. Tak mengapa, masih boleh tolong isteri dengan potong bawang, siang ikan dan potong sayur. Janji dapat tolong isteri di dapur.
Kredit gambar herviewfromhome.com
6. Bantu Basuh Pinggan Selepas Makan
Ada keluarga sudah bahagi tugas. Isteri memasak dan suami basuh pinggan. Bagus cadangan ini supaya dapat hidup dalam suasana harmoni dan bertanggungjawab.
Apa salahnya membantu isteri basuh pinggan setelah dia penat memasak di dapur. Masak bukan untuk orang lain tetapi untuk kita juga.
7. Beri Nafkah Zahir dan Batin
Nafkah adalah pemberian wajib daripada suami kepada isteri. Berdosa seorang suami mengabaikan perkara ini.
Nafkah zahir seperti duit belanja diri, keperluan pakaian dan tempat tinggal.
Sementara nafkah batin seperti memberikan kasih sayang dan ihsan kepada isteri.
8. Bantu Keluarga Sendiri dan Mertua
Ciri suami terbaik berikutnya adalah dapat berkongsi rezeki yang ada. Duit gaji diperuntukkan untuk ibu bapa sendiri setiap bulan.
Walaupun sedikit, namun banyak keberkatan bersedekah kepada ibu dan bapa.
Lebih baik, jika suami memberikan juga wang belanja kepada keluarga mertua. Niatkan untuk bantu mereka, insya-ALLAH diberkati rezeki kita.
9. Rajin Kemas Rumah & Buang Sampah
Hari-hari ada sampah di rumah. Jika hidup berdua pun sudah banyak, apatah lagi hidup dengan anak-anak yang ramai. Paling kurang sehari satu plastik penuh dengan sampah.
Rutin kemas rumah termasuk sapu lantai, cuci kipas dan bilik air. Sebelum keluar kerja, boleh kumpul sampah tadi dan buang.
Kerja senang, rumah bersih, isteri tersenyum riang.
10. Bawa Isteri dan Anak-anak Beriadah
Hujung minggu sebaiknya bawa isteri dan anak-anak beriadah. Tidak perlu jauh dari rumah pun, sekadar bawa ke taman pun sudah memadai.
Selain menghilangkan stress tempat kerja, boleh mengeratkan hubungan kasih sayang.
Waktu lapang begini kita dapat berbual dengan lebih dekat. Maklumlah, hari biasa masing-masing sibuk dengan kerja.
11. Temankan Isteri Beli Barang Dapur
Kebanyakan dari suami jika beli barang dapur mesti bawa isteri. Jika datang berseorang mesti ada checklist atau guna aplikasi seperti Google Keep untuk senaraikan barang.
Jika bawa isteri untuk membeli barang dapur menjadikan tugasan suami lebih mudah dan tepat. Kita bantu bawa barang sahaja, biar isteri pilih barangan terbaik untuk keluarga.
Keluar shopping juga salah satu masa emas untuk bersama pasangan.
12. Tak Minta Duit Isteri Untuk Beli Benda Tak Berfaedah
Kecuali keadaan mendesak, boleh pinjam duit isteri. Tidak bolehnya, jika minta duit isteri dan beli benda tak berfaedah.
Anda sendiri tahu perkara apa tidak berfaedah, bukan?
Lebih buruk lagi, sudahlah malas bekerja, dimintanya duit isteri dan buat perkara tidak elok.
Minta dijauhkan dan diberikan hidayah untuk suami begini. Bimbang boleh terjadi perkara tidak diingini kelak.
13. Kerap Temani Isteri Waktu Siang dan Malam
Isteri dikurniakan untuk disayangi, disantuni dan dihormati sepanjang masa. Sentiasa ada di sisi mereka siang dan malam untuk dengar keperluan dan luahan.
14. Kerap Hubungi Isteri Jika Berjauhan
Jika suami bekerja dan berjauhan, guna teknologi yang ada seperti telefon, mesej dan video call.
Berbual dan bertanya khabar sebab isteri tidak mahu wang anda, mereka mahu perhatian dan kasih sayang.
15. Ingat Hari Jadi dan Ulang Tahun Perkahwinan
Ada isteri sangat menjaga perkara ini. Ada isteri tidak kisah jika tidak ucapkan ulang tahun hari jadi atau perkahwinan.
Namun ramai isteri menantikan ucapan manis daripada suaminya.
Jika anda ada ciri lelaki terbaik, apa salahnya setahun sekali beri hadiah walau sekuntum bunga kepada isteri tanda ingatan dan perhargaan hubungan anda.
Buat surprise orang kampung saya kata!
16. Beli Hadiah Tanpa Diminta
Selain nafkah zahir dan batin, suami boleh juga berikan hadiah seperti baju, tudung, kain dan sebagainya. Jika anda sering keluar daerah untuk tugasan, belikan ole-ole yang ada di tempat tersebut.
Boleh buat kenangan, boleh buat hadiah.
17. Mandikan Anak
Jika ada di rumah, boleh bantu mandikan anak. Isteri mungkin sibuk memasak. Apa salahnya anda ambil tugas mandikan anak. Itupun anak anda juga.
18. Buat Susu Anak
Sama juga halnya dengan buat susu untuk anak. Jangan harapkan isteri sahaja, suami sekarang pun sudah boleh buat susu anak. Bukan susah pun.
Kredit gambar: webmd.com
19. Tukar Lampin dan Bersihkan Anak
Bab tukar lampin dan bersihkan anak terutama selepas buang air besar, ada suami serahkan kepada isteri.
Jangan begitu, perlu ada tanggungjawab bersama. Jika anda tak buat apa-apa ketika itu, tolonglah cuci.
Bukan lama pun, tak sampai 15 minit dah siap.
20. Bertolak Ansur
Bertolak ansur adalah perkara penting dalam hidup berumah tangga. Sikit-sikit jangan terlalu berkira. Sikit-sikit jangan terlalu mengarah. Setiap perkara boleh dibawa bincang untuk dapat keputusan terbaik.
Sebagai suami dan ketua keluarga, sikap bertolak ansur sangat-sangat perlu supaya kita tidak menzalimi isteri sendiri. Perlu ada sifat ehsan.
Kesimpulan
Suami yang bertanggungjawab adalah ciri-ciri suami terbaik idaman wanita. Buat yang terbaik untuk isteri dan anak-anak. Mereka nyawa dan segalanya untuk anda.
Hidup akan lebih harmoni, diberkati dan bahagia berpanjangan.
Nak tanya sikit, apa anda buat untuk bantu isteri?
5 thoughts on “20 Ciri-ciri Suami Terbaik Idaman Setiap Isteri”