5 Cara Menjemput Jodoh dengan Cepat

Let's share with your friends:

Membina mahligai perkahwinan bersama pasangan yang sehati dan sejiwa menjadi impian setiap yang bergelar manusia. Artikel kali ini ingin berkongsi cara menjemput jodoh dengan cepat.

Ketika usia remaja kita mungkin pernah diminati seseorang yang berlainan jantina seterusnya berfikiran bahawa mencari pasangan hidup ketika dewasa bukanlah suatu perkara yang sukar.

Ironinya mencari jodoh adalah satu cabaran terbesar dalam hidup.

Setiap individu memiliki ‘bench mark’ bagi menentukan siapa yang layak dijadikan pasangan hidup.

Sebagai contoh, mahukan pasangan yang sempurna dari kalangan penjawat awam, mempunyai taraf pendidikan sekurang-kurangnya diploma, tinggal di negeri-negeri tertentu sahaja, memiliki rupa paras yang elok, berat badan yang sederhana, ketinggian yang tertentu, memiliki latar belakang agama yang bagus dan sebagainya.

Kehendak seperti ini  bukanlah satu kesalahan yang patut dikecam oleh masyarakat kerana setiap individu berhak menentukan siapa yang layak untuk mendampingi mereka melayari kehidupan kelak.

Namun kehendak sebegini menyukarkan lagi proses pencarian pasangan hidup terutama bagi mereka yang kekurangan dari segi paras rupa, pendidikan dan kewangan.

Sinar Harian melaporkan bahawa Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan 5.56 Juta lelaki dan wanita di Malaysia pada tahun 2010 yang berumur lebih 30 tahun masih bujang.

Seramai 4.8 Juta daripada angka berkenaan merupakan wanita manakala selebihnya adalah lelaki.

Senario ini akan memberi impak buruk kepada kadar reproduksi di Malaysia memandangkan tahap kesuburan wanita semakin menurun pada usia 30 tahun ke atas.

Terdapat beberapa tips yang boleh dilakukan sebagai usaha untuk menjemput jodoh. Antaranya ialah;

1. Bersedia untuk dipilih

Sebagai seorang bujang yang menantikan kehadiran jodoh, adalah perlu untuk menambah ‘nilai’ pada diri.

Ini adalah cara menjemput jodoh pertama perlu dititikberatkan oleh individu bujang.

‘Nilai’ yang dimaksudkan termasuklah dari segi pencapaian, keterampilan diri, kemampuan dan sifat-sifat murni.

Lihat diri kita sebagai calon untuk ditemuduga dan soal pada diri sendiri adakah kita layak untuk jawatan tersebut.

tips cari jodoh

Kredit gambar: giphy.com

Jika layak, benarkah kita mempunyai kualiti-kualiti yang dicari?

Jika tidak, apakah usaha dan solusi yang boleh kita lakukan untuk melayakkan diri kita pada peluang akan datang.

Banyak perkara yang boleh ditambah baik seperti skill memasak, mengemas rumah dan menguruskan kewangan.

Memperbaiki dan memajukan diri bukan bertujuan untuk mendapatkan jodoh semata-mata. Perkara ini juga membawa kebaikan dalam hidup setiap individu.

2. Mendoakan  untuk orang lain

Memiliki sahabat atau kenalan yang senasib iaitu lewat mendapatkan jodoh membuatkan kita merasa tidak keseorang dalam belenggu seperti ini.

Dengan mendoakan rakan-rakan agar mereka segera bertemu jodoh yang baik, bertanggungjawab dan solehah atau solehah, perkara yang sama akan berbalik kepada kita. Daripada Safwan bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Doa seseorang muslim untuk saudaranya secara berjauhan (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab. Di kepalanya (yang berdoa) terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya, setiap kali dia berdoa kepada saudaranya dengan kebaikan maka malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: Amin dan bagi engkau seperti itu juga (sama seperti apa yang didoakan itu)”. [Riwayat Muslim (4914)]

Cara menjemput jodoh ini merupakan satu amalan yang baik kerana saling mendoakan yang terbaik kepada rakan-rakan.

3. Melibatkan diri dengan aktiviti sosial

Adakah kalian pernah mendengar kata-kata bahawa jodoh itu mungkin berada disekeliling anda?

Tetapi jika sekitar anda dipenuhi dengan golongan yang sudah berkahwin, anda perlu memperluaskan  lagi ‘circle’ anda.

Tambah kenalan dan berkawanlah dengan ramai orang kerana mungkin dengan cara itu akan ada mata yang tertarik dengan keperibadian anda.

Cara terbaik adalah dengan melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti sosial.

Sebagai contoh aktiviti kembara berbasikal, agihan makanan kepada gelandangan, ‘fun run’ dan sebagainya.

Terpulang kepada anda untuk menyertai aktiviti yang bagaimana bergantung kepada masa dan keupayaan anda.

4. Bertindak cepat

‘Jangan tunggu lama-lama, nanti lama-lama dia dikebas orang’ Lirik lagu Jangan Tunggu Lama-lama sangat bertepatan dengan situasi ini.

Apabila anda tertarik dengan seseorang dan anda telah pun membuat risikan secara ringkas terhadap individu tersebut, jangan ambil masa terlalu lama untuk mendekati dia.

cari jodoh

Kredit gambar: tenor.com

Cukup sekadar mengetahui bahawa dia bujang, bukan isteri atau suami orang. Lain-lain perkara tentang mereka anda boleh pelajarinya selepas itu.

Teknologi hari ni sudah canggih untuk mengatasi rasa malu dan segan anda. Anda tidak perlu berjumpa empat mata untuk meluahkan perasaan anda.

Pelbagai kaedah seperti menghantar pesanan melalui What’s App, Facebook, Instagram Direct Message dan Telegram boleh digunakan sebagai mewakili diri anda.

Di dalam percintaan tiada peraturan siapa yang wajib mulakan sama ada lelaki atau wanita. Stigma ‘perigi cari timba’ yang selalunya ditakuti oleh para wanita perlu dihapuskan.

Bukankah Saidatina Khadijah juga meminang Nabi Muhammad S.A.W suatu ketika dahulu?

Sayangnya ramai wanita yang terlepas peluang untuk mendekati lelaki idaman mereka akibat dihantui oleh stigma’perigi cari timba’.

5. Minta doa

Doa siapa yang perlu anda minta?

Pertama adalah doa dari seorang ibu, kemudian doa alim ulama’. Sebagai seorang yang beragama Islam, kita percaya bahawa doa seorang ibu tiada hijab.

Maka berbuat baiklah kepada ibubapa masing-masing dan memohon mereka mendoakan anda supaya segera dipertemukan dengan pasangan hidup yang baik.

Seterusnya, jika direzekikan untuk kalian bertemu dengan mana-mana orang alim mahupun ulama’, mintalah doa dari mereka.

Apa yang penting adalah, berdoalah untuk diri sendiri. Allah SWT sangat suka hamba-hamba-Nya berdoa kepada-Nya sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran;

Maksudnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul”. [al-Baqarah:186]

Diharapkan artikel ini sedikit sebanyak membantu para wanita dan lelaki mengenai cara menjemput jodoh bagi mencari pasangan hidup.

Teruslah berusaha, berdoa dan bertawakkal. Moga segalanya membuahkan hasil.

Let's share with your friends:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *