3 Langkah Terbaik Dalam Usaha Mendapatkan Zuriat

Let's share with your friends:

Setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga pastinya mengimpikan cahaya mata. Namun begitu ikatan perkahwinan tidak menjanjikan setiap pasangan akan dikurniakan cahaya mata. Artikel kali ini berkongsi cara mendapat zuriat dalam usaha mendapatkan cahaya mata.

Ada pasangan yang menanti kehadiran zuriat lebih sepuluh tahun namun masih belum ada sinar.

Sementara itu ada pasangan yang baru sebulan mendirikan rumahtangga tetapi sudah mendapat khabar gembira bahawa si  isteri bunting pelamin.

Hal ini bukanlah menunjukkan bahawa Tuhan itu tidak adil, sebaliknya Allah memilih pasangan yang lewat mendapatkan zuriat untuk diuji dan diangkat darjat mereka jika mereka sabar  dan  tidak berputus asa dengan Rahmat Allah.

Allah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud;

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya orang yang berdusta.” (al-Ankabut: 2-3)

Buat pasangan yang belum dikurniakan zuriat, janganlah kalian bersedih.

Berikut adalah langkah-langkah yang boleh dilakukan dalam cara mendapat zuriat agar usaha kita membuahkan hasil:

1. Jumpa Doktor

Pasangan yang  mempunyai rutin hubungan kelamin yang kerap tanpa penggunaan sebarang alat atau pil cegah kehamilan selama 12 bulan berturut-turut disarankan untuk menjalani ujian kesuburan.

Perkara pertama yang perlu kalian lakukan adalah pergi ke Klinik Kesihatan dan dapatkan surat rujukan daripada Pegawai Perubatan serta dapatkan tarikh temujanji dengan Klinik Kesuburan di Hospital Kerajaan.

Prosesnya bukanlah mudah. Kalian harus hadir pada setiap tarikh temujanji yang ditetapkan.

Jadi, setiap pasangan yang berusaha harus mempersiapkan mental dan emosi supaya usaha kalian tidak terhenti separuh jalan.

Terdapat beberapa ujian yang perlu dijalani oleh isteri.

Pertama adalah ujian Pap smear. Tujuannya ialah untuk mengetahui jika terdapat sebarang jangkitan kulat, bacteria dan yeast dibahagian cervik, penyakit kelamin atau kanser cervik.

Kedua, ujian darah yang mana ujian ini dilakukan bagi mengetahui tahap kestabilan hormone wanita.

Melalui ujian darah ini juga doktor dapat mengenalpasti masalah-masalah lain seperti PCOS (Polycystic Ovarian Syndrome), penyakit berkaitan darah, masalah thyroid dan sebagainya.

Ketiga, ujian imbasan melalui organ peranakan TVS (Trans Vaginal Scan). Ujian ini dilakukan bagi mengenalpasti masalah seperti Endometriosis, Cyst, Polyp, PCOS dan sebarang abnormalities pada organ pembiakan wanita.

Keempat, ujian HSG (Hysterosalpingography). Ujian ini melibatkan prosedur X-ray dimana ujian ini dilakukan untuk mengetahui jika terdapat sumbatan pada tiub falopia (tiub yang menghubungkan ovari dan uterus).

Sementara ujian yang perlu dilakukan oleh suami hanyalah ujian sampel air mani sahaja.

Melalui ujian sampel air mani suami, beberapa perkara penting dapat diketahui seperti bilangan  sperma yang sihat, pergerakan sperma dan bentuk sperma (morphology).

Setelah lengkap kesemua ujian yang wajib dijalani oleh suami dan isteri, barulah doktor yang merawat akan membincangkan masalah yang dihadapi.

Doktor kemudiannya memberi cadangan jika perlu dirawat dengan ubat, menjalani rawatan IUI( Intrauterine insemination) di mana benih suami akan dihantar masuk kedalam rahim sebaik sahaja isteri berovulasi atau menjalani rawatan IVF(in-vitro fertilization) iaitu persenyawaan dalam tabung uji.

2. Ambil Folic Acid

hamil asid folikSumber gambar: hovidonlinestore.com

Pakar kesuburan mencadangkan kepada setiap pasangan yang sedang berusaha untuk mendapatkan zuriat agar mengambil folic acid sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum hamil.

Bagi wanita yang mempunyai sejarah keguguran, doktor mencadangkan pengambilan folic acid sekurang-kurangnya 4mg sehari.

Hal ini kerana terdapat kajian yang membuktikan bahawa folic acid membantu mengurangkan risiko kecacatan pada otak dan saraf tunjang bayi.

Selain itu pengambilan multivitamin juga penting bagi membantu mendapatkan tubuh badan yang sihat sebelum hamil.

3. Menurunkan Berat  Badan

Jika BMI anda kategori obes (berat badan berlebihan), sebaik-baiknya anda merancang diet dan senaman bagi menurunkan berat badan terlebih dahulu.

Ini kerana wanita obes lebih cenderung mendapat kencing manis ketika hamil (Gestational Diabetes) dan tekanan darah tinggi yang boleh menyebabkan sawan.

Tahukah anda, penyakit begini juga berisiko tinggi jika terkena jangkitan COVID terutamanya jika anda belum menerima vaksin COVID-19.

Umumnya , rawatan kesuburan menelan kos yang tinggi. Rawatan kesuburan di Hospital Kerajaan pastilah jauh lebih murah berbanding swasta.

Namun perlu diinggat, servis di hospital kerajaan mungkin tidaklah sebaik hospital swasta memandangkan pesakit yang diterima jauh lebih ramai jika dibandingkan dengan hospital swasta.

Tambahan pula, tidak semua hospital kerajaan mempunyai Fertility Clinic dan menjalankan Rawatan Kesuburan.

Hospital yang kerajaan yang menawarkan rawatan kesuburan adalah;

  1. Hospital Kuala Lumpur HKL
  2. Hospital Serdang
  3. Hospital Selayang
  4. Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ, Terengganu)

Selain Hospital Kerajaan, kalian juga boleh mendapatkan rawatan di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Jika  berkemampuan, bolehlah mendapatkan rawatan di pusat kesuburan hospital universiti seperti:

  1. Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HUKM)
  2. Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)

Sebagai kesimpulan, ada banyak usaha dan cara mendapat zuriat. Bergantung pada tahap disiplin dan kemampuan masing-masing.

Pasangan yang lewat mendapat zuriat tidak perlu malu atau takut untuk berjumpa dengan doktor dan menjalani ujian kesuburan.

Adalah lebih baik untuk mencari punca masalah berbanding berusaha tanpa arah tuju.

Selain itu, kelewatan mendapatkan zuriat tidak harus dipandang sebagai satu kelemahan atau keaiban oleh masyarakat.

Ramai pasangan yang lewat mendapat zuriat enggan mendapatkan rawatan dari pakar kerana bimbang dengan stigma masyarkat terhadap mereka.

Lewat mendapat zuriat bukanlah bererti mandul.

Rasulullah pernah bertanya kepada para sahabat: “Tahukah engkau siapakah yang mandul?” Para sahabat menjawab; “Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak”. Lalu Rasulullah bersabda; Orang yang mandul ialah orang yang mempunyai banyak anak, tetapi anak-anaknya tidak memberi manfaat kepadanya sesudah ia meninggal dunia.” (HR. Ahmad)

Rujukan: webmd.com, indianexpress.com

Artikel ini dihantar oleh Nur Saliha. Jika anda berminat untuk menghantar artikel dan mendapat bayaran, sila klik Hantar Artikel untuk maklumat lanjut.

Let's share with your friends:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *