Cara Memulakan Bisnes Cenderahati Korporat

Let's share with your friends:

Memulakan perniagaan atau bisnes cenderahati korporat adalah tindakan bijak untuk membantu menambah pendapatan keluarga. Jika diusaha secara serius, ia boleh menjadi pekerjaan sepenuh masa yang sangat menguntungkan.

Bisnes cenderahati korporat adalah salah satu bidang yang semakin berkembang dalam ekonomi global.

Mengikut maklumat oleh Zipdo.co, pasaran cenderahati korporat dunia pada tahun 2019 dianggarkan sebanyak USD125.3 billion. Data ini dijangka akan meningkat kepada USD306.9 billion pada tahun 2027.

Peningkatan hampir 200%!

Di Malaysia, permintaan terus meningkat untuk perkhidmatan cenderahati berkualiti tinggi, jadi peluang yang baik untuk mereka yang berminat dalam bidang ini.

Dalam bisnes cenderahati, anda tidak perlukan stor simpan stok, mesin yang mahal atau menyewa kedai. Cukup hanya menjadi agen kepada pembekal. Kerja anda menjadi lebih mudah.

Kerja utama anda hanya mencari pembeli, buat jualan dan pembekal (supplier) akan buat penghantaran kepada pembeli anda. Anda boleh buat 100% secara online sahaja seperti bisnes dari rumah.

Artikel kali ini kami akan tunjukkan langkah-langkah asas untuk memulakan bisnes cenderahati korporat, serta beberapa panduan penting untuk berjaya dalam industri ini.

Apa itu Bisnes Cenderahati Korporat?

Cenderahati korporat adalah barangan dengan cetakan sendiri yang biasanya diberikan secara percuma kepada pelajar sekolah, universiti atau staff di pejabat.

Ada juga dibuat dengan cetakan sendiri untuk tujuan pemasaran seperti diberikan secara percuma kepada pelanggan.

Pemberian cenderahati korporat melibatkan pengiktirafan pekerja, penghargaan pelanggan dan acara promosi. Hadiah ini boleh terdiri daripada barangan berjenama dan barangan mewah kepada pelanggan.

Antara barangan yang popular seperti mug, payung, bekas minuman, diari, pen dan beg.

Kredit gambar: giftstore.my

Anda sudah pasti pernah menerima cenderahati korporat dari booth pameran seperti pen, bukan? Mungkin juga syarikat anda memberikan hadiah bekas minuman sempena hadiah hari jadi.

Jadi, kepada syarikat yang membekal barangan dan servis seperti ini, ia merupakan satu bisnes atau perniagaan yang menawarkan barangan bercetakan sendiri yang esklusif yang tiada di jual di pasaran umum.

Kenapa syarikat atau kumpulan membuat cenderahati korporat?

1. Tujuan pemasaran kerana cetakan jenama syarikat atau brand pada barangan akan digunakan oleh pelanggan.

2. Tanda kenangan terutamanya pada majlis tertentu seperti majlis hari jadi, team building atau hari sukan sekolah.

3. Pemasaran yang murah tetapi berkekalan lama. Syarikat yang ingin menjimatkan kos akan menggunakan cenderahati korporat kerana jenama yang dibawa pelanggan sentiasa kekal selagi ia masih digunakan.

Contohnya, t-shirt bercetakan brand syarikat tertentu yang sentiasa dipakai oleh pelanggan. Buat sekali, tetapi dapat banyak kali pendedahan kepada pasaran.

Cara Memulakan Bisnes Cenderahati Korporat

 

1. Rancangan Perniagaan yang Teliti

Sebelum anda melangkah ke dunia bisnes cenderahati korporat, anda perlu memahami pasaran dan perkhidmatan yang anda ingin tawarkan.

Ini kerana ada banyak syarikat lain menawarkan barangan yang sama di pasaran. Anda perlu ada kelebihan atau USP (unique selling point) tersendiri yang membezakan anda dengan pesaing.

Buat rancangan perniagaan yang teliti yang merangkumi analisis pasaran, pelanggan sasaran, persaingan, struktur organisasi, dan perancangan kewangan.

Siapa yang bakal menjadi pelanggan utama anda? Dalam bisnes ini, ada 4 kumpulan sasaran yang kami kenal pasti iaitu:

  • Guru sekolah – Untuk majlis sekolah seperti sukan, hari guru dan hari anugerah cemerlang.
  • Syarikat kerajaan – Untuk majlis hari jadi, team building, majlis perpisahan atau aktiviti kumpulan.
  • Syarikat swasta – Keperluan yang sama dengan syarikat swasta.
  • Kolej dan universiti – keperluan yang sama dengan sekolah.

Tumpukan kepada 4 kumpulan ini kerana keperluan mereka tidak akan putus sepanjang tahun. Jika anda berjaya dapatkan selain dari 4 kumpulan ini, itu sudah dikira bonus yang sangat baik.

2. Memilih Jenis Perkhidmatan

Cenderahati korporat ada banyak jenis seperti t-shirt, mug, bekas minuman, baju korporat dan sebagainya. Untuk permulaan anda boleh pilih perkhidmatan utama sebagai langkah pertama.

Contohnya, anda hanya fokus pada cetakan cenderahati korporat jenis mug, bekas minuman, payung dan berkaitan. Biasanya ada syarikat pembekal yang khusus menawarkan perkhidmatan dalam kategori ini sahaja.

3. Mendaftar Perniagaan Anda

Mendaftar perniagaan anda adalah langkah penting untuk memastikan bahawa anda beroperasi secara sah mengikut undang-undang Malaysia.

Pastikan anda memahami semua peraturan yang berkaitan dengan perniagaan cenderahati korporat di negara anda.

Sekarang sudah mudah. Anda boleh bermula dengan daftar perniagaan (enterprise) secara online di SSM EzBiz Online. Bayaran dikenakan mengikut jenis nama didaftarkan seperti:

  • Name sendiri contohnya Mohd Ali bin Abu. Bayaran dikenakan hanya RM30. Pembaharuan setahun sekali dengan harga yang sama.
  • Nama Trade contohnya Bestari Resources. Bayaran dikenakan hanya RM60. Pembaharuan setahun sekali dengan harga yang sama.

4. Daftar Akaun Bank

Daftar akaun semasa di bank untuk lebih yakinkan pelanggan kerana mereka membayar kepada perniagaan berdaftar/syarikat. Anda bebas untuk buka di akaun mana-mana bank. Cadangan kami jika umat Islam, cari akaun Islamik untuk mengelak daripada riba.

Kedua, anda dapat mengasingkan dan menguruskan duit yang masuk ke akaun syarikat dengan lebih mudah.

Jika duit masuk ke akaun peribadi, wang tersebut akan bercampur dan susah untuk anda menguruskan antara bisnes dan peribadi.

Namun, untuk permulaan anda boleh gunakan akaun bank peribadi tetapi dari semasa ke semasa usahakan untuk buka akaun semasa di bank.

5. Mencari Pembekal

Ini adalah langkah paling penting untuk bisnes anda berjaya. Pembekal yang baik bukan hanya dapat memberikan harga agen yang murah tetapi dapat membantu anda dalam urusan pertanyaan produk, proses dan juga penghantaran produk.

Gunakan fungsi Google untuk membuat carian di internet. Contohnya, taip:

  • pembekal cenderahati korporat
  • agen cenderahati korporat
  • corporate gift agent

Kemudian layari website mereka. Lihat produk yang mereka tawarkan kemudian hubungi mereka sama ada melalui Whatsapp ataupun email.

Tidak semua syarikat cenderahati korporat menawarkan program agen. Anda perlu cari satu demi satu sehingga jumpa yang sesuai dengan keperluan bisnes.

Semasa berhubung, bina komunikasi yang baik dengan pembekal contohnya tulis;

Hi selamat pagi syarikat ABC, saya Zaini dari XYZ resources ingin bertanya, pihak tuan ada buka untuk agen?

Jika ada, saya berminat untuk ketahui lebih lanjut.

Anda juga boleh hubungi mereka dalam Bahasa Inggeris. Tiada masalah kerana di Malaysia, pembekal tahu banyak bahasa kerana mereka ada ramai agen.

6. Buat Kira-kira Keuntungan

Selepas dapat harga agen, anda boleh bertanya harga jualan daripada pembekal. Mereka akan berikan cadangan harga runcit.

Namun, jika anda ingin membuat kira-kira keuntungan anda boleh letakan margin keuntungan (profit margin) sendiri seperti 20% atau 30%.

Anda boleh gunakan tools online seperti di website Omnicalculator.

Margin Calculator

Contohnya anda terima satu pesanan untuk membuat 100 biji mug termasuk cetakan 1 warna logo. Harga diberikan oleh pembekal adalah RM10 seunit. Anda inginkan keuntungan bersih 30% (profit margin).

Masukkan info ini di kalkulator dan anda akan lihat harga jualan RM14.29 seunit dengan keuntungan RM4.29 seunit. Harga ini anda boleh jual kepada pelanggan.

7. Buat Pemasaran Secara Berterusan

Pemasaran adalah nadi penting dalam bisnes. Tanpa pemasaran tiada pelanggan. Tanpa pelanggan tiada bisnes.

Cara paling mudah dan menjimatkan adalah buat pemasaran atau marketing dengan orang sekeliling seperti saudara-mara dan rakan-rakan. Anda boleh lakukan secara percuma di Whatsapp group atau status.

Kemudian buat pemasaran di Facebook, Instagram, YouTube dan TikTok. Join group percuma dan post story untuk iklankan di situ.

Jika anda ada modal yang lebih, boleh lakukan pemasaran berbayar seperti Facebook Ads atau Google Ads, namun anda perlu lebih banyak ilmu sebelum mula melabur kepada pemasaran berbayar.

Anda juga boleh pasarkan servis cenderahati korporat menggunakan laman web (website).

Panduan untuk Kejayaan dalam Bisnes Cenderahati Korporat

1. Pelbagaikan Produk dan Perkhidmatan

Jika anda ingin berjaya dalam bisnes cenderahati korporat, pertimbangkan untuk menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti baju korporat dan heatpress printing. Ini akan membantu anda menarik pelanggan yang berbeza dan membina perniagaan yang lebih stabil.

2. Kekal Berterusan Belajar

Industri ini sentiasa berubah dan berkembang. Sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran anda dalam bidang yang anda tawarkan.

3. Fokus pada Kualiti dan Kebolehpercayaan

Kualiti perkhidmatan anda dan kebolehpercayaan anda adalah aset terbesar dalam bisnes cenderahati korporat. Pastikan anda sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan anda.

Jika pelanggan suka, mereka pasti akan datang kembali untuk berurusan dengan anda.

4. Bina Reputasi yang Baik

Reputasi yang baik adalah kunci kepada pertumbuhan bisnes anda. Pelanggan yang puas akan merujuk anda kepada orang lain, dan ini akan membantu anda memperluaskan pelanggan anda.

5. Jaga Hubungan Pelanggan dan Pembekal

Hubungan pelanggan dan pembekal adalah penting dalam bisnes cenderahati korporat. Berikan perhatian kepada keperluan dan keinginan pelanggan anda, dan sentiasa komunikasi dengan mereka.

6. Gunakan Teknologi dengan Bijak

Teknologi adalah alat yang penting dalam bisnes cenderahati korporat. Gunakan sistem perakaunan, perisian pengurusan projek, dan alat lain yang boleh membantu anda meningkatkan produktiviti dan efisiensi.

7. Mengurus Kewangan dengan Baik

Pengurusan kewangan yang bijak adalah kunci kejayaan dalam bisnes cenderahati korporat. Pastikan anda mempunyai sistem perakaunan yang kukuh dan kawal penggunaan dana perniagaan dengan cermat.

Kesimpulan

Memulakan bisnes cenderahati korporat adalah cabaran yang menarik dan boleh memberikan pulangan yang besar.

Dengan perancangan yang teliti, usaha yang gigih, dan komitmen untuk kualiti, anda boleh mencapai kejayaan dalam industri ini.

Ingatlah untuk sentiasa belajar dan berinovasi, dan anda akan memiliki asas yang kukuh untuk pertumbuhan perniagaan anda.

Let's share with your friends:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *