6 Cara Selesaikan Hutang Dengan Cepat

Let's share with your friends:

Hutang, perkara yang paling merisaukan dalam hidup. Namun bukan mudah untuk melangsaikannya dengan sekelip mata. Bagaimana sesebuah keluarga dapat belajar cara selesaikan hutang dengan cepat?

Apatah lagi jika kita sudah mempunyai komitmen besar seperti perlu menyara isteri dan anak-anak serta membayar ansuran pembelian rumah setiap bulan.

Walau bagaimanapun, ia tetap perlu diselesaikan agar perjalanan kehidupan kita lebih lancar dan tenteram.

Mengikut laporan Kementerian Kewangan, setakat akhir Jun 2020, hutang isi rumah rakyat Malaysia berjumlah RM1.27 trilion bersamaan 87.5% KDNK negara.

Pecahannya adalah hutang pinjaman hartanah (55.9%), pinjaman peribadi (14.2%) dan pinjaman kenderaan (12.3%). Sumber Sinar Harian.

Berikut kami kongsikan 6 cara mudah bagi membantu keluarga anda menyelesaikan segala hutang-piutang dengan cepat.

1. Tulis Matlamat Utama atau “Big Why” anda

Tentukan matlamat untuk sesuatu pinjaman. Contohnya anda ada 3 hutang iaitu kereta, rumah dan peribadi.

Jadi, untuk setiap hutang tersebut buat senarai ringkas baki hutang, bayaran bulanan dan target untuk diselesaikan.

Walaupun telah ditetapkan oleh bank berapa tahun baki bayaran, namun untuk selesaikan hutang dengan cepat, kita boleh pendekkan tempoh tersebut mengikut matlamat kita sendiri.

Contohnya:
1. Hutang kereta, baki RM30 ribu. Target 2025 iaitu 3 tahun lebih awal.
2. Hutang rumah, baki RM250 ribu. Target 2035 iaitu 5 tahun lebih awal
3. Hutang pinjaman peribadi, baki RM10 ribu. Target 2023 iaitu 2 tahun lebih awal.

Matlamat ini adalah Sebab Utama atau “Big Why“. Tulis matlamat ini di kertas dan tampal. Boleh juga taip di handphone dan komputer.

Lihat setiap hari matlamat tersebut. Mengikut kajian oleh seorang Professor Psikologi, Dr Gail Matthew adalah 42% kebarangkalian tinggi untuk berjaya selepas menulis matlamat.

Big Why ini bukan hanya untuk matlamat hutang malah apa sahaja impian anda ingin buat dalam hidup.

 

2. Catatkan Rekod Perbelanjaan dan Komitmen Penting Setiap Bulan.

Langkah ini perlu dilakukan untuk mengenalpasti ke mana mengalirnya wang pendapatan yang diperoleh.

Ia juga membantu anda melihat dengan lebih jelas apakah perbelanjaan yang boleh dikurangkan.

Catatan yang dibuat mestilah termasuk segala perbelanjaan kecil seperti belanja beli makanan dan menonton wayang.

cara-tulis-hutang

Kredit gambar: giphy.com

Manakala rekod komitmen pula mestilah dicatat dengan betul, bermula dari komitmen paling besar sehinggalah sekecil-kecil komitmen.

Contoh komitmen bulanan adalah nafkah isteri dan anak, nafkah ibu bapa, belanja dapur dan bayaran bil utiliti.

Bagi memudahkan kerja-kerja mengemaskini rekod yang disediakan, catatan perbelanjaan dan komitmen ini bolehlah dibuat menggunakan Microsoft Excel.

Setiap kali ada berlaku pengaliran wang keluar, boleh terus kemaskini di fail berkenaan. Mudah dan pantas.

3. Buat Kira-kira Berapa Jumlah Perbelanjaan Setiap Bulan

Bandingkan dengan pendapatan yang diperoleh. Perhatikan adakah bahagian perbelanjaan melebihi pendapatan atau sebaliknya.

Sekiranya perbelanjaan kurang, bolehlah gunakan wang lebihan untuk membayar hutang. Gunakan wang lebihan adalah salah satu cara selesaikan hutang dengan cepat yang sangat baik.

Ini kerana rancangan kita akan menjadi lebih cepat hasil daripada penjimatan wang belanja.

Namun begitu, jika perbelanjaan melebihi pendapatan, maka anda perlu bersedia untuk menilai semula perbelanjaan yang perlu dikurangkan.

Misalnya, mungkin anda boleh kurangkan belanja untuk menonton wayang dan kurangkan membeli peralatan yang tidak begitu penting.

4. Mengurangkan Bayaran Wajib (komitmen bulanan)

Ini juga dapat membantu anda melangsaikan hutang dengan cepat. Antara kaedah yang boleh dicuba adalah dengan membuat pembiayaan semula bagi ansuran rumah dan kereta.

Jika menginap di rumah sewa, antara pilihan yang boleh dilakukan adalah pindah ke rumah yang menawarkan kadar sewa lebih murah berbanding kediaman sekarang.

cara selesaikan hutang dengan cepat

Kredit gambar: giphy.com

Bagi yang menggunakan kad kredit dengan pembayaran yang baik setiap bulan, anda boleh cuba memohon pengurangan kadar faedah yang ditetapkan oleh pihak perbankan.

Dengan mengurangkan bayaran wajib setiap bulan ini, anda akan mempunyai lebihan wang yang boleh digunakan untuk melunaskan hutang yang ada.

5. Ikhtiarkan untuk Menambah Pendapatan Sedia Ada.

Bagi yang mempunyai banyak komitmen, tentunya menambah pendapatan merupakan salah satu cara terbaik yang perlu diberi perhatian. Ia bukanlah sesuatu yang asing untuk mempunyai lebih dari satu pekerjaan di zaman serba mencabar ini.

Download Percuma: 50 Idea Bisnes Part-Time Sekarang!

Ada orang yang bekerja makan gaji mengikut waktu pejabat, kemudian sambung menjadi pemandu e-hailing pula di sebelah malam.

Ada juga yang menjana pendapatan dengan melibatkan diri dalam perniagaan atas talian. Malah tak kurang juga yang mengambil upah membuat kerja tambahan pada hujung minggu.

Ada yang menjadi agen takaful, agen hartanah dan juga agen penapis air. Asalnya halal dan tak membebankan diri, teruskan usaha murni anda.

6. Beri Keutamaan untuk Selesaikan Hutang dengan Kadar Faedah yang Tinggi Terlebih Dahulu

Ini boleh dikenalpasti sewaktu anda membuat senarai hutang yang ada. Catatkan jumlah bayaran semasa, kadar faedahnya serta baki yang masih perlu dilangsaikan.

Susun senarai bermula dari kadar faedah paling tinggi dan menurun ke bawah. Membuat bayaran dengan cara ini mungkin membataskan perbelanjaan anda untuk sementara.

Namun ia pasti memberi kelegaan serta membantu anda untuk berjimat dalam jangka masa panjang.

Hutang Itu Tanggungjawab

Kita semua tak nak berhutang sebab kesannya membawa kepada tekanan sehingga bertahun-tahun.

Itu belum kira lagi jika ada masalah dengan kerja sekarang sehingga tidak mampu membayar hutang.

Lebih parah, jika kita berhutang dengan Along. Elakkan cari masalah dengan Along.

Semoga tips yang kami kongsikan ini membantu anda merancang kewangan dengan lebih baik demi keselesaan di masa hadapan.

Gunakan tips cara selesaikan hutang dengan cepat ini sebagai panduan. Selamat berjaya.

Let's share with your friends:

2 thoughts on “6 Cara Selesaikan Hutang Dengan Cepat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *