Mengapa Anda Perlu Mengawal Anak-anak Dari Bermain Gajet di Usia Kecil?

Let's share with your friends:

Dewasa ini gajet dan teknologi tidak dapat dipisahkan dari hidup kita. Menurut statistik yang didapati dari hasil penyelidikan di Amerika Syarikat, 1 dari 3 kanak-kanak telahpun didedahkan dengan gajet ini sebelum mereka bercakap lagi!

Hal ini merisaukan kerana sedikit sebanyak, perkara ini mengganggu tumbesaran semulajadi anak-anak.

Menghilangkan Tumpuan Terhadap Tumbesaran Semulajadi.

Menurut garis panduan KKM, sejak bayi lagi perkembangan mereka diukur menggunakan carta pertumbuhan standard.

Sebagai contoh, bayi usia 6 bulan mula melihat ke arah sumber bunyi; bayi 12 bulan boleh makan dengan sendiri; dan sebagainya.

Dengan memperkenalkan gajet kepada mereka seawal usia 3 bulan atau lebih, mereka tidak lagi dapat fokus kepada proses pembelajaran semulajadi mereka. Sebaliknya mata mereka mula tertumpu kepada skrin gajet.

Lebih malang lagi, anak-anak lebih cenderung untuk bermain gajet dan tidak memperdulikan keadaan sekeliling.

Ini sangat berbahaya!

Bukan sahaja perkembangan fizikal mereka terganggu, bahkan perkembangan mental pun tidak terkecuali. Skil berkomunikasi, bertutur, emosi dan perasaan tidak dapat berkembang dengan baik dek kerana leka dengan permainan gajet.

Alasan Memberi Gajet Kepada Anak-anak.

Jika diperhatikan, rata-rata ibu bapa yang memberi gajet kepada anak mereka ini bukanlah berniat yang tidak baik.

Dapat dilihat mereka inginkan anak mereka tenang dan terhibur. Di samping itu mereka juga mungkin mempunyai perkara lain yang ingin dilakukan dan tidak mampu untuk membahagikan tumpuan itu untuk anak mereka.

Ini adalah normal. Selaku orang dewasa masa yang kita ada terhad dan terpaksa membahagi-bahagikan antara minat, keluarga, kerja dan sebagainya.

Ibu bapa sibuk makan, anak-anak leka bermain telefon bimbit.

Namun begitu dengan memberikan gajet itu kita sebenarnya telah secara tidak langsung mengajar anak kita untuk “switch off” dari dunia sekeliling dan menumpukan perhatian kepada skrin sahaja.

Bukankah ini satu perkara yang tidak bagus?

Anak-anak menjadi obses dan bersikap tidak acuh terhadap perkara yang berlaku di sekitarnya. Bak kata pepatah “tubuh sahaja ada, rohnya sudah melayang-layang”.

Akibat Terlalu Bergantung Pada Gajet.

Anak-anak yang didedahkan lebih awal kepada gajet mempunyai 2 masalah utama; mengawal emosi sendiri serta kehendak.

Umum mengetahui yang anak kecil suka menangis. Namun tangisan itu bukanlah semata-mata kerana mereka sedih.

Bahkan tangisan adalah salah satu cara mereka berkomunikasi; cara mereka meluahkan perasaan kepada keluarga dan penjaga. Nak bercakap, belum boleh lagi.

Namun apabila ibu bapa mengambil jalan mudah dengan menghulurkan gajet, ia sememangnya berkesan untuk meredakan tangisan anak.

Namun ini sedikit sebanyak mengajar mereka untuk meredakan emosi sendiri dengan gajet. Tanpa gajet, mereka akan jadi gelisah, tidak boleh duduk diam bahkan meronta-ronta.

Lalu kitaran ini berterusan sehingga menjadi tabiat yang sukar untuk dibetulkan meningkat dewasa nanti.

Kedua, anak-anak ini sebagaimana manusia mempunyai kehendak masing-masing. Terkadang mereka lapar, mereka menangis.

Kenyang sehingga perut rasa tidak selesa, menangis. Maka sekiranya gajet diberikan kepada mereka bilamana saja mereka menangis, sampai bila pun mereka tidak akan dapat belajar mengelakkan dari melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan mereka tidak selesa.

Tantrum anak sebenarnya berpunca dari keresahan yang dialami akibat dia tidak dapat meluahkan perasaannya.

Langkah Pertama Mengasingkan Gajet dan Anak-anak

Saya harap sesudah para pembaca tiba di poin yang ini, telah kuat tekad dan azam saudara sekalian untuk tidak lagi bergantungharap pada gajet untuk menenteramkan anak-anak masing-masing.

Berikut merupakan poin-poin penting yang boleh diikuti untuk membantu mengawal anak-anak dari bermain gajet lagi:

1. Gantikan gajet dengan permainan fizikal

Semestinya anak-anak ada permainan fizikal di rumah yang mereka suka. Alihkan perhatian mereka dari gajet dan tumpukan mereka kepada permainan fizikal di depan mata.

Mereka mempunyai tumpuan yang singkat dan pada peringkat awal mudah untuk dimanipulasi. Gunakan kecekapan anda untuk mengawal apa yang mereka tumpu pada satu-satu masa.

Letak gajet jauh dari jangkauan anak-anak anda.

2. Berikan ganjaran kepada mereka

Ganjaran yang dimaksudkan ini seperti manisan, coklat, ciuman, pendek kata apa jua perkara yang disenangi oleh anak-anak.

Namun begitu jangan berlebih-lebihan pula memberi ganjaran tu. Takut-takut nanti kesan ganjaran itu berkurangan untuk jangkamasa panjang.

Ganjaran boleh diberikan untuk setiap kali mereka ikut serta bermain dengan anda. Pastikan pasangan anda memberi kerjasama penuh di dalam hal ini agar anda berdua dapat bersama-sama membentuk sikap anak.

Disamping itu dapatlah meluangkan masa bersama keluarga. Ini dapat mempererat hubungan antara anda, pasangan dan anak-anak anda.

Kesimpulan

Sememangnya gajet dan telefon bimbit ini bukanlah 100% tidak baik terhadap anak-anak. Namun begitu pada peringkat awal ia mengandungi lebih banyak mudarat berbanding manfaat.

Jadi elakkan dari mengambil jalan mudah untuk mententeramkan anak dengan memberi gajet. Sebaliknya, usahakan mencari jalan dengan aktiviti-aktiviti lain selain dari gajet.

Sekiranya anda ingin mengetahui lebih lanjut silakan ke artikel berikutnya untuk melihat senarai aktiviti yang boleh dilakukan bersama dengan anak anda di rumah.

Jom tonton versi video pula untuk mengetahui betapa perlunya anda mengawal anak-anak dari gajet pada usia kecil lagi =)

Let's share with your friends:

4 thoughts on “Mengapa Anda Perlu Mengawal Anak-anak Dari Bermain Gajet di Usia Kecil?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *