5 Cara Membina Hubungan dengan Anak Remaja

Let's share with your friends:

Anak adalah anugerah dari Tuhan kepada para ibu bapa. Sedari bayi lagi, mereka diasuh dan dicorakkan mengikut acuan kita.

Adalah satu tanggungjawab para ibu bapa untuk membesarkan anak-anak seiring dengan norma kehidupan – dengan mengajarkan mereka nilai-nilai murni serta skil yang diperlukan untuk meneruskan hidup mereka sehingga ke akhir hayat.

Kita seharusnya menggunakan pendekatan yang betul dalam mendidik mereka. Yang sebetulnya, pendidikan ini haruslah seiring dengan tahap pembesaran mereka.

Sebagai contoh, kita tidak boleh memperlakukan anak remaja seperti budak kecil kerana ia akan menjejaskan tahap keyakinan anak-anak.

Walau bagaimanapun, bukanlah bermakna mereka tidak perlu disantuni sebagaimana waktu mereka kecil dahulu.

Sewaktu mereka masih kecil, kitalah sumber kasih sayang, keseronokan, keselamatan serta kelangsungan hidup mereka.

Apabila mereka meningkat dewasa, secara tidak langsung anak-anak ini mulai ingin berdikari. Peranan kita dalam hidup mereka mulai berkurangan.

Ini adalah tidak benar – sebetulnya peranan kita harus turut berubah seiring tumbesaran anak itu sendiri.

Lanjutkan bacaan anda untuk mengetahui tips membina hubungan dengan anak remaja.

Mengapa remaja selalunya suka memberontak terhadap orang tuanya?

Hal ini kerap berlaku dalam kalangan masyarakat. Ianya bukanlah sesuatu yang pelik; umum mengetahui apabila meningkat remaja, badan manusia mulai berubah.

Anak-anak mulai mengalami pembesaran yang pantas – yang lelaki dengan suara garaunya, jerawat, perempuan pula dengan pertumbuhan payudara dan lain-lain lagi.

Pada masa yang sama hormon dalam badan mula menunjukkan perubahan drastik. Hal ini secara tidak langsung mengakibatkan kecelaruan emosi dan perasaan.

Anak-anak kerap merasa ingin bebas dan tidak mahu dikongkong. Pengaruh rakan sebaya pun berperanan dalam mempengaruhi tindak-tanduk mereka.

Umumnya para remaja ini lebih senang meluahkan perasaan dengan rakan sendiri berbanding dengan ahli keluarga khususnya para ibu bapa.

Disinilah kita harus memainkan peranan kita selaku ibu bapa – berikan mereka ruang dan peluang dalam bereksperimentasi dengan hidup sendiri.

Izinkan mereka berdikari namun pada masa sama pantau dengan rapat (tanpa mewujudkan kongkongan yang jelas).

Ambil tahu dengan siapa dia berkawan serta jika berpeluang wujudkan hubungan yang erat antara guru dan juga keluarga rakan.

cara didik anak

Anggaplah anak anda ini ibarat kawan anda sendiri – sekiranya mereka melakukan kesalahan tegurlah secara berhikmah dan jangan dilakukan di khalayak ramai.

Jika tidak ini akan mengganggu keyakinan mereka dan membuatkan mereka semakin ingin memberontak.

Tentu sekali kita sendiri tidak suka dipermalukan di depan orang lain bukan?

Tips mengeratkan hubungan ibu bapa dan anak remaja

1. Kasih Sayang

Mungkin kedengaran seperti klise namun kasih sayang mengeratkan hubungan kekeluargaan. Jadikan suasana dalam keluarga itu aman dan harmoni. Anak-anak akan berasa senang dan tidak kekok dengan ibu bapa mereka.

2. Tunjukkan penghargaan terhadap anak

Anak-anak kita amat dahagakan perhatian – samada dari keluarga sendiri mahupun kawan-kawan. Tunjukkan yang anda mengambil berat tentang mereka dan tidak sesekali mengabaikan anak-anak ini.

Jika tidak mereka akan cenderung mendapatkan perhatian daripada orang lain. Tentu sekali kita tidak mahu elemen yang tidak sepatutnya menjadi rapat dengan anak kita.

3. Makan bersama

Dewasa ini hubungan kekeluargaan amat sukar untuk merapat. Ibu bapa sibuk dengan kerja dan anak-anak pula sibuk dengan persekolahan mereka. Namun ini bukanlah alasan untuk kita tidak mampu untuk meluangkan masa bersama. Cuba dapatkan masa sekerap mungkin untuk ibu bapa dan anak makan bersama. Sambil menjamu selera, kita boleh berkomunikasi dengan anak-anak dan mengambil tahu akan perjalanan hidup mereka.

4. Riadah bersama

Beza antara makan bersama dan beriadah bersama ini – beriadah tidak terhad kepada aktiviti di dalam rumah sahaja.

Segala aktiviti yang dilakukan bersama anak boleh digolongkan sebagai riadah. Sebagai contoh, melawat negara lain bersama-sama juga merupakan aktiviti yang menarik untuk dilakukan bersama keluarga. Di samping mengeratkan silaturahim, kita juga boleh berseronok dan menghilangkan tekanan perasaan.

5. Beri kepercayaan dan tanggungjawab

Remaja merupakan satu tahap yang harus dilalui oleh semua sebelum meningkat dewasa. Pada saat ini anak-anak mula ingin berdikari.

Sebagai ibu bapa yang prihatin, jadikan ini sebagai satu tahap bagi memberikan anak-anak keyakinan dan kepercayaan terhadap diri sendiri.

Berikan mereka tugasan yang difikirkan sesuai bagi melatih anak-anak mengambil tanggungjawab keluarga.

Contohnya, ajar dan didik mereka untuk menabung wang atau menguruskan kebersihan dalam rumah. Adakan jadual pembersihan dan serahkan tugas ini kepada anak-anak.

 

Let's share with your friends:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *