5 Cara Jimat Belanja Barang Dapur untuk Surirumah
Berbelanja memang seronok. Lebih-lebih lagi bila kita boleh ambil apa sahaja yang kita mahu. Dalam artikel ini, saya akan tunjukkan cara jimat belanja barang dapur.
Namun begitu, jika kita tidak berhati-hati sewaktu berbelanja, ia boleh menyebabkan berlakunya pembaziran.
Tidak sahaja dari segi duit ringgit yang dibelanjakan, malah boleh jadi barangan yang dibeli juga mungkin bukanlah sesuatu yang kita benar-benar perlukan.
Bagi yang merancang untuk keluar berbelanja hujung minggu nanti, di sini kami kongsikan 5 CARA JIMAT BELANJA BARANG DAPUR, khususnya barangan dapur.
1. Rancang menu harian untuk seisi keluarga.
Perancangan sebegini membantu kita membuat senarai apakah bahan mentah yang perlu disediakan bagi setiap menu.
Ia juga memudahkan kita menentukan bajet bagi menyediakan bahan-bahan tersebut.
Sumber: giphy.com
Jadual menu boleh disediakan bersama pasangan dan anak-anak. Ini tentu seronok.
Malah aktiviti ini membolehkan setiap ahli keluarga memilih sekurang-kurangnya satu menu kegemaran sendiri untuk dimasukkan ke dalam jadual yang boleh ditetapkan bagi tempoh satu minggu atau satu bulan sekaligus.
2. Setiap resit perbelanjaan mestilah disimpan dan direkodkan dengan kemas.
Apa cara jimat belanja barang dapur yang berikutnya? Jom baca poin kedua pula.
Nak konsisten merekod segala perbelanjaan memang agak leceh. Tapi rekod ini akan sangat membantu terutamanya apabila kita tercari-cari ke mana perginya wang yang kita ada sebelum ini.
Resit yang diperoleh setiap kali kita berbelanja biasanya akan pudar. Tulisan pada resit akan hilang. Itulah sebabnya kita perlu membuat rekod dengan kemas supaya mudah dirujuk semula.
Semua yang kita belanjakan mesti direkod, sama seperti yang tercatat pada resit. Ini termasuklah gula-gula mahupun makanan ringan lain yang kita belanjakan untuk anak-anak.
Kebiasaan merekod perbelanjaan melatih kita supaya lebih berhati-hati sewaktu membeli, terutamanya apabila terbeli sesuatu yang tidak ada dalam senarai keperluan yang telah dirancang sebelumnya.
3. Bandingkan harga sebelum membuat sebarang belian.
Lazimnya bagi sesuatu barangan yang mahu dibeli, akan ada beberapa pilihan baik dari segi jenama, kuantiti mahupun harga. Misalnya, kita mahu membeli sayur kobis.
Ada kobis panjang, kobis bulat, kobis ungu dan kobis bunga. Harga pun berbeza mengikut jenis dan kuantiti setiap satu.
Malah harga di pasaraya dan pasar borong pun ada bezanya. Oleh itu, sebagai pengguna kita perlulah bijak membuat keputusan di mana dan barangan apa yang lebih sesuai dengan keperluan kita sekeluarga.
Perbandingan harga bagi sesuatu barangan juga boleh dilakukan antara beberapa pasaraya berdekatan.
Kita mungkin masih boleh mendapat barangan yang kita mahu dengan harga yang lebih murah jika rajin membuat perbandingan harga sebegini.
4. Pastikan kita membeli barangan yang telah disenaraikan sahaja dan elak dari membeli sesuatu yang tiada dalam perancangan.
Hal ini berkait rapat dengan kemampuan mengawal nafsu membeli. Semua orang pun mungkin berdepan cabaran untuk mengawal keadaan sekiranya tidak disertakan dengan disiplin diri yang kuat.
Disebabkan itu penting untuk kita tahu barangan yang benar-benar diperlukan. Lebih baik lagi jika kita tahu harganya.
Dengan cara itu, kita boleh menetapkan berapa banyak wang yang akan dibawa sewaktu keluar berbelanja.
Tambahan pula, dengan mematuhi senarai barangan yang telah dibuat, kita akan sedar bahawa setiap bulan kita hanya membelanjakan sejumlah wang yang hampir sama nilainya.
Jadi, kita boleh jimat wang pada senarai barangan yang bakal dibeli.
Jika bulan tersebut kita kurang berbelanja, baki wang perbelanjaan barangan dapur untuk bulan tersebut bolehlah disimpan dan digunakan untuk perbelanjaan bulan seterusnya.
5. Elakkan pembelian melalui aplikasi atas talian.
Sememangnya ketika negara berdepan isu pandemik Covid-19 ini, membeli barangan keperluan melalui aplikasi atas talian lebih mudah.
Namun risiko untuk terlebih berbelanja adalah amat tinggi. Pelbagai barangan boleh dipilih, pembayaran juga amat mudah.
Beberapa minit sahaja kita mungkin menghabiskan puluhan malah ratusan ringgit untuk membeli-belah perkara yang bukan keperluan.
Namun, sekiranya kita mampu bertegas dengan diri tentang disiplin berbelanja, mungkin pembelian menerusi aplikasi atas talian dapat dikawal dengan baik.
Cuma itulah, yakinkan kita tidak tergoda dengan iklan lalu-lalang?
Semoga tips cara jimat belanja barang dapur yang kami kongsikan ini bermanfaat untuk semua.
RUJUKAN: