Cara Didik Anak-Anak Melalui Teladan. Ini 10 Perkara Ibu Bapa Boleh Buat
Anak-anak melihat apa yang dibuat oleh ibu bapa. Baik buruk perbuatan, percakapan dan tingkah laku akan mudah ditiru oleh mereka. Cara didik anak-anak melalui teladan ibu bapa sangat penting dalam pembentukan peribadi mereka.
Teladan yang baik perlu lebih-lebih lagi pada anak berumur 5 tahun ke bawah.
Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya iaitu mendidik anak-anak biarlah dari kecil.
Mereka melihat ibu bapa sebagai role-model atau idola.
Secara umumnya, mereka menjadi baik atau sebaliknya bergantung kepada baik buruknya ibu dan ayah di mata mereka.
Ada banyak perkara kita boleh lakukan. Namun, kami kongsikan 10 cara didik anak-anak melalui teladan yang mudah dan praktikal.
1. Ajar Anak Cakap Perkara Yang Baik
Anak-anak belajar dari pertuturan ibu bapa. Mak ayah yang bercakap penuh hikmah, lemah lembut dan sopan akan mudah membentuk anak-anak jadi positif.
Dalam dunia sekarang sangat banyak perkataan tak elok didengari. Perkataan lucah, cacian, kata-kata tipu dan nista mudah sangat kita dengar.
Sebagai ibu bapa walaupun bermulut ‘laser’, cuba kurangkan cakap ayat tak manis depan anak-anak.
Mereka senang meniru. Kadang-kadang bila marah, mulalah mak ayah cakap benda tak elok. Tak pandang kiri kanan dah jika ada anak atau tidak.
Perkataan tak baik ini memang sedap cakap. Boleh buat bahan ketawa tetapi kesan pada anak-anak bukan sahaja boleh ditiru tetapi boleh membawa kepada peribadi dan kesan buruk kepada anak-anak.
Anak-anak yang terdedah dengan perkataan tak baik lebih mudah marah, naik angin dan kasar dalam percakapan. Jika tak terdidik, boleh jadi anak derhaka.
Betullah cakap pepatah, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.
Jadi, dari awal lagi kita sebagai ibu bapa cuba kawal dari bercakap perkara tak baik depan anak-anak.
Tahanlah sekejap. Cakaplah benda baik. Selain dapat tunjuk teladan pada anak-anak, ia juga memberikan pahala pada yang bercakap.
2. Kemas Makanan Selepas Makan Di Kedai
Ini boleh dilakukan ketika di kedai makan, medan selera (food court) atau restoran makanan segera.
Walaupun terdapat pekerja pembersihan, apa salahnya kita bantu kemaskan meja makan kemudian angkat pinggan makanan dan bawa ke tempat pengumpulan.
Paling mudah, susun pinggan mangkuk dan lap meja dengan tisu. Orang yang kemudian dapat duduk dengan lebih selesa.
Amalan ini boleh dibuat dibuat bersama anak-anak. Sikap bersih dan kemas dapat menjadi satu teladan baik untuk anak-anak belajar.
Selain belajar bersih, anak-anak dapat diterapkan dengan sikap tolong menolong, rajin dan tak pentingkan diri sendiri.
3. Ucap Terima Kasih Selepas Diberi Sesuatu
Perkara paling indah apabila bersama orang lain adalah menghargai antara satu sama lain. Paling mudah adalah mengucapkan terima kasih ketika diberi sesuatu.
Amalan mendidik anak-anak mengucapkan terima kasih adalah permulaan penting dalam membentuk sahsiah mereka menjadi terpuji.
Terima kasih dapat mencegah sikap sombong dan bangga diri yang boleh merosakkan diri mereka kelak. Ucapannya ringkas namun memberi sejuta pengertiaan dan rasa seronok pada mereka yang menerimanya.
4. Hormat Pada yang Lebih Tua
Budi bahasa budaya kita. Salah satunya dengan menghormati mereka yang lebih tua. Ajar anak-anak hormat pada orang tua dan mereka akan ikut sama berbuat demikian.
Contohnya pergaulan kita dengan ibu dan ayah kita, cara kita menghormati mereka dan kasih sayang kita curahkan membuatkan anak-anak melihat satu keluarga yang sangat bahagia.
Mereka akan lakukan perkara yang sama pada atuk nenek, ibu bapa saudara dan orang dewasa lain kerana sikap kita yang tunjukkan menjadi satu teladan untuk diikuti.
Ada kalanya, dengan senyum dan bertanya khabar pada orang yang lebih tua sudah cukup menjentik hati anak-anak berbuat sama pada orang lain. Mudah bukan?
Tak perlu terlalu kompleks untuk mengajar asas baik pada anak-anak.
5. Ajar Anak Ikut Arahan
Setiap hari banyak arahan anak-anak terima dari kita. Bagaimana kita menerima arahan dan bertindak, begitu juga kita mahukan perkara sama kepada anak-anak kita.
Contohnya minta anak kemaskan barang permainan, suruh mandi dan arahan untuk makan.
Anak-anak akan melihat kita sebagai ibu bapa menerima arahan dari pasangan. Jika baik respon dari pasangan, maka lebih mudah anak-anak belajar dan mendapat teladan dari perbuatan kita.
Isteri minta jemur kain lantas si ayah pantas melaksanakannya. Anak-anak melihat respons ini dan belajar.
Jika sebaliknya berlaku, anak-anak juga ambil mudah dan tak endah dengan arahan kita.
Ingat, anak-anak memerhatikan kita setiap masa kerana itu sahaja panduan dan rujukan mereka ketika kecil.
6. Ajar Anak Bertolak Ansur
Anak kecil ada kalanya sangat susah nak bertolak ansur. Mereka nak menang dalam setiap situasi. Jika bermain permainan semua dia punya.
Sebagai ibu bapa, sikap tolak ansur perlu diterapkan dalam minda anak-anak. Ajar mereka bertolak ansur dengan sepupu atau kawan-kawan sepermainan.
Beritahu mereka baiknya sikap tolak ansur untuk wujudkan suasana menang-menang. Kita bertolak ansur bukan beerti kalah tetapi ingin lihat mereka terus kekal bergaul dengan cara yang sihat.
7. Ajar Anak Jaga Kebersihan
Cara didik anak-anak melalui teladan berikutnya adalah kebersihan. Pentingnya ada sikap pembersih di dalam dan luar rumah.
Antara yang boleh dibuat adalah dengan sama-sama mengemas rumah, mengemas barang mainan dan buang sampah.
Kemas rumah perlu dijadikan aktiviti rutin kepada anak-anak. Sikap yang baik ini dapat membentuk peribadi mereka sukakan kebersihan dan bencikan kekotoran.
Membersih kekotoran itu satu hal, menjaga kebersihan pula lebih penting.
Contohnya, ketika di taman permainan atau berjalan-jalan, buang sampah di dalam tong sampah.
Perlu diingatkan pada mereka yang merokok, jangan buang puntung rokok di merata-rata tempat.
Amalan buruk ini menjadikan anak-anak turut sama tidak peduli dengan sampah sarap. Mereka anggap boleh buang di mana sahaja nak buang.
8. Belajar Memaafkan Rakan-Rakan
Kalau tak bergaduh bukan budak-budak namanya. Jika bermain, kejap sahaja akan bergaduh. Biasanya perkara kecil membawa tangisan dan perbalahan.
Sebagai ibu bapa yang prihatin, tunjuk sikap tak menangkan anak. Ajar mereka memaafkan kesalahan rakan.
Dengan sikap pemaaf ini, anak-anak anak lebih bertolak ansur dan berlapang dada dalam membuat keputusan.
Mereka tahu, dengan memaafkan tidak menyebabkan kerugiaan walau sedikit malah menjadikan mereka lebih positif dalam pergaulan.
9. Berkongsi Perkara yang Sedikit
Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Maksudnya berkongsi secara adil atau sama banyak.
Contoh paling mudah ketika mempunyai makanan yang sedikit. Ajar anak-anak kita berkongsi sesama rakan.
“Makan kongsi-kongsi ye. Esok ibu beli lagi. Boleh makan sama-sama lagi.” Mungkin ini boleh dituturkan kepada anak-anak.
Berkongsi membawa keberkatan dalam hidup.
10. Layan Pasangan dengan Baik
Bagaimana kita sebagai suami isteri melayan pasangan, begitu juga anak-anak melihat dan meniru. Jika kasihnya kita pada suami isteri, makan kasih juga mereka kepada sesama rakan.
Berlaku adil, kasih sayang dan lemah lembut kepada pasangan kita. InsyALLAH, kesan kepada minda dan perbuatan anak-anak juga menjadi baik.
Apa teladan baik anda tunjukkan pada anak-anak? Jom kongsikan di ruangan komen.