5 Punca Dengkur dan Cara Merawat Dengkur
Tahukah anda bahawa tidur yang berkualiti adalah penting untuk kesihatan? Tidur yang berkualiti bermaksud tidur yang nyenyak tanpa gangguan dan apabila anda bangkit dari tidur, anda berasa segar dan bertenaga.
Namun dengkur atau pernafasan yang bising ketika tidur boleh mengurangkan kualiti tidur anda dan juga pasangan.
Dengkur boleh terjadi pada lelaki dan wanita namun ianya lebih kerap terjadi dalam kalangan orang yang berat badan berlebihan.
Masalah dengkur yang serius akan menyebabkan seseorang menjadi mengantuk sentiasa tidak kira pada waktu siang atau malam sehingga boleh memberi tekanan dan menjejaskan prestasi kerja.
Pentingnya untuk kita semua tahu bagaimana dengkur boleh terjadi dan bagaimana pula cara merawat dengkur dengan berkesan.
Dengkur terjadi apabila aliran udara yang masuk melalui hidung atau mulut tersekat. Faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku ialah:
- Hidung tersumbat. Apabila anda mengalami selesema, jangkitan sinus atau alergi, kebiasaannya anda akan rasa hidung tersumbat.
Jika anda mempunyai masalah septum yang menyimpang (dinding yang memisahkan dua lubang hidung tidak simetri) atau polip (daging yang tumbuh di dalam rongga hidung) anda juga berkemungkinan akan mengalami hidung tersumbat.
- Otot tekak dan lidah lemah. Jika otot terlalu rileks, ianya akan jatuh pada saluran udara. Keadaan ini akan menghasilkan bunyi dengkuran yang bising.
Pengambilan minuman beralkohol atau dadah boleh menyebabkan otot tekak dan lidah terlalu banyak rileks.
Selain itu tidak cukup tidur juga boleh menyebabkan otot tekak dan lidah menjadi telampau rileks dan mengakibatkan terjadinya dengkur.
- Tisu tekak tebal. Orang yang mempunyai berat badan berlebihan cenderung untuk mempunyai tisu tekak yang tebal. Maka tidak hairan jika sebilangan besar mereka yang obes mengalami masalah dengkur.
- Bengkak Tonsil. Tonsil yang membengkak juga boleh menyebabkan dengkur. Sebahagian kanak-kanak yang mengalami dengkur mempunyai masalah tonsil dan adenoid yang besar.
- Lelangit lembut dan panjang. Lelangit adalah tisu yang menghubungkan belakang mulut. Jika keadaannya panjang, ianya akan menyempitkan saluran tekak .
Apabila udara dari hidung masuk ketika bernafas, ianya akan bergetar dan tersumbat di saluran pernafasan dan menghasilkan bunyi dengkuran.
Sekiranya pasangan anda mula mengadu bahawa tidur mereka kerap terganggu akibat dengkuran anda, anda di nasihatkan untuk berjumpa dengan doktor.
Anda mungkin mengidap ‘sleep apnea’ atau putus nafas ketika tidur. Sleep apnea sangat merbahaya kerana boleh menyebabkan kematian semasa tidur.Jadi anda perlu cara merawat dengkur dengan segera.
Di Hospital, anda akan diperiksa untuk mengetahui jika anda mengidap rhinithis, sinusitis, septum menyimpang atau bengkak tonsil.
Selain itu, doktor akan menasihatkan anda untuk menjalani ujian x-ray, MRI dan kajian tidur (sleep study) dimana anda akan bermalam di hospital dan dipasangkan alat polysomnografi sepanjang anda tidur.
Alat ini akan merakam denyutan jantung, kepekatan oxygen dalam darah( oxygen saturation), gelombang otak (brain wave) dan pernafasan anda. Anda tidak perlu takut kerana kesemua ujian ini tidak menyakitkan.
Rawatan dengkur akan dimulakan setelah kesemua pemeriksaan ke atas anda lengkap sepenuhnya. Rawatan yang bakal anda perolehi bergantung kepada keseriusan keadaan anda. Anda mungkin disarankan:
Sumber gambar: apneamed.org
- Menggunakan mesin CPAP(continuous positive airway pressure). Mesin ini berfungsi membekalkan udara ke dalam saluran pernafasan anda sepanjang waktu tidur bagi merawat sleep apnea dan dengkur anda. Namun harga mesin ini bukanlah murah. Harganya sekitar RM 7000.
- Pembedahan. Sekiranya keadaan anda didapati kronik, pembedahan mungkin akan dicadangkan kepada anda. Tisu di kerongkong anda akan dibuang atau dijadikan lelangit yang lembut tetapi kaku. Prosedur ini akan dicadangkan jika anda berdepan dengan risko kematian ketika tidur.
- Mengurangkan berat badan. Mengurangkan berat badan bukan sahaja membantu anda untuk mengurangkan dengkur semasa tidur, mengelakkan berlakunya putus nafas ketika tidur malah ianya dapat mengurangkan risiko penyakit-penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, penyakit jantung, penyakit kencing manis dan sebaginya.
- Berhenti merokok dan minuman beralkohol.
- Menggunakan bantal yang lembut dan tebal semasa tidur. Bantal yang lembut dan tebal dapat membantu anda untuk tidur dengan lebih selesa dan nyenyak serta mengurangkan dengkur berbanding bantal yang keras dan leper.
Selain itu gunakan pelekat hidung yang boleh didapati di farmasi bagi memastikan saluran pernafasan terbuka dengan baik sepanjang waktu tidur.
Breath right adalah salah satu produk pelekat hidung yang popular membantu pernafasan semasa tidur.
Dengkuran semasa tidur tidak boleh diambil ringan kerana ianya boleh menjejaskan kualiti tidur seterusnya kualiti hidup. Ada cara merawat dengkur yang perlu anda lakukan.
Tidur yang tidak berkualiti menyebabkan anda tidak boleh fokus dengan kerja, sering rasa mengantuk, tidak boleh menyumbang buah fikiran yang bernas dan lemah dalam menyelesaikan masalah.
Disamping mendapatkan rawatan, anda perlu kekalkan jadual waktu tidur anda, amalkan pemakanan sihat, lakukan senaman setiap hari, sediakan tempat yang selesa untuk tidur dan urus tekanan dengan baik untuk merawat masalah dengkur anda dan perbaiki mutu hidup.
Semoga penulisan ini bermanfaat bagi para pembaca yang masih belum jumpa punca masalah dengkur dan cara untuk merawatnya.
Jika anda mempunyai pasangan yang mempunyai masalah dengkur yang teruk, beritahu mereka dan berbincang untuk menjalani ujian.
Ianya mungkin dengkur biasa, atau ianya boleh juga jadi masalah kesihatan yang serius. Maka, jangan abaikannnya.
Rujukan: