5 Cara Romantis Berbaik Selepas Bergaduh dengan Pasangan
Bukan namanya berumah tangga jika tak pernah bermasam muka, bertengkar dan tinggi suara. Namun akhirnya, berbaik selepas bergaduh dengan pasangan adalah langkah terbaik untuk keluarga harmoni.
“Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.” Begitu lebih kurang bait lirik lagu nyanyian Tan Sri P.Ramlee dan Puan Sri Saloma.
Tentu masih segar diingatan semua. Begitulah lumrahnya kehidupan berumahtangga. Mana mungkin sepanjang masa kita ketawa ceria tanpa sekali pun bermasam muka.
Sedangkan langit juga sesekali akan mendung dan mencurah hujan ke muka bumi. Bergaduh itu biasa dalam rumahtangga.
Sumber: weheartit.com
Ia seharusnya menjadi permulaan kepada hubungan lebih hangat setelah masing-masing berbaik semula.
Kami kongsikan 5 TIPS YANG BOLEH DIPRAKTIKKAN CARA BERBAIK SELEPAS BERGADUH DENGAN PASANGAN
1. Beri masa kepada diri dan pasangan untuk bertenang.
Sewaktu marah, kita mungkin akan terlepas cakap perkara yang tidak sepatutnya disebabkan rasa tidak puas hati sedang membuak di dalam dada.
Sama ada suami atau isteri, masing-masing akan cenderung untuk mengeluarkan kata-kata yang akan menyakitkan hati pasangan.
Oleh itu, adalah lebih baik untuk berdiam diri seketika supaya perasaan itu beransur reda. Ini juga membantu agar masing-masing tidak membawa pergaduhan ke peringkat yang lebih serius.
Antaranya boleh bermain-main bersama anak-anak untuk berikan masa kepada pasangan bertenang.
2. Cuba beralah dan bawa berbincang.
Mengalah bukan bermakna kalah. Itu petanda bahawa kita lebih mementingkan keharmonian dalam perhubungan berbanding rasa ego dalam diri.
Apabila perasaan marah yang tadinya membuak telah reda, cuba dekati pasangan. Sediakan segelas air kegemarannya atau semangkuk coklat kesukaan bersama dan bersuaralah dengan lembut.
Ajak pasangan berbincang secara baik tentang punca pergaduhan tadi. Kawal perasaan supaya tidak kembali membuak.
Berbincang maknanya kita dan pasangan sama-sama ada ruang untuk meluahkan rasa serta menyuarakan pendapat.
Cuba bertanya apa yang membuatkan pasangan jadi marah dan bagaimana kita boleh elakkan dari pergaduhan sama berulang.
Perbincangan sebegini mampu membangkitkan rasa terharu di hati pasangan. Ia membuatkan mereka rasa dihargai serta lebih disayangi.
Disayangi sebagai seorang suami terbaik. Disayani sebagai seorang isteri yang penyayang.
3. Letakkan diri di tempat pasangan dan fikirkan bagaimana perasaan kita jika hal sama berlaku.
Membuat refleksi sebegini membantu kita lebih memahami perasaan orang yang kita cintai.
Jika perlu, minta maaf dan akui kesilapan yang tidak sengaja kita lakukan. Kalaupun kita tidak melakukan sebarang kesalahan, minta maaf kerana tidak memahami pun memadai.
Perkataan maaf itu mampu merawat hati yang sedang bersedih. Lebih-lebih lagi dari seorang yang dikasihi, tentulah pasangan akan sentiasa memaafkan.
Minta maaf bukan bermakna kita salah, cuma jika perkataan maaf itu mampu mengurangkan ketegangan yang timbul, apa salahnya meminta maaf, kan?
4. Pujuk pasangan sebelum keadaan lebih parah.
Sesetengah orang menganggap bila sudah berumahtangga, tak perlu lagi nak memujuk.
Semua akan kembali reda dengan sendirinya. Mungkin ambil masa sehari dua, tetapi selepas itu pasangan akan kembali melaksanakan rutin seperti biasa.
Awas ya jika ada yang berfikiran begini. Kadangkala seseorang memang tidak akan menzahirkan perasaan sebenar yang terpendam.
Sumber: gifer.com
Pasangan kita mungkin berlagak seperti tidak ada apa yang berlaku, namun jauh di sudut hatinya terpendam rasa tidak lagi dihargai dan disayangi.
Ini boleh mendorong kepada berlakunya curahan perasaan kepada orang ketiga yang dirasakan lebih memberi perhatian.
Oleh itu, sekiranya terjadi pergaduhan antara kita dan pasangan, berusahalah untuk memujuknya kembali. Jika tidak tahu bagaimana nak memujuk, gunakan saja khidmat ‘surprise delivery’.
Kirimkan bunga, coklat atau kek kesukaan pasangan ataupun emas simpanan.
Bersamanya selitkan nota kata cinta seperti awal perkenalan dulu. Tidak salah keluarkan sedikit belanja demi orang yang tersayang. Betul?
5. Kekal bersama dan elakkan dari meninggalkan pasangan begitu sahaja.
Walau apapun isunya, kita perlu bersikap rasional. Jika ada hal yang membuat kita marah, bawa berbincang.
Jika pasangan yang marah-marah, cuba beri perhatian kepada isu yang dibangkitkan. Masalah tidak akan selesai dengan cara melarikan diri.
Sebaliknya berusaha untuk memberi penjelasan dan menjadi pendengar yang baik adalah penyelamat dalam sesuatu perhubungan.
Oleh itu, sentiasalah bertindak matang apabila diuji dengan kerenah pasangan. Banyakkan bersabar serta terimalah setiap ujian pergaduhan itu sebagai fasa untuk kita sama-sama belajar memahami pasangan dengan lebih baik.
Berbaik selepas bergaduh dengan pasangan memang banyak cabaran. Jika diambil tindakan dengan betul, semuanya akan kembali menjadi normal.
Semoga tips ini bermanfaat untuk semua!
RUJUKAN:
http://kertaskronyok.blogspot.com/2012/07/10-cara-bila-bergaduh.html?m=1
One thought on “5 Cara Romantis Berbaik Selepas Bergaduh dengan Pasangan”