5 Cara Mengurus Stress dan Tekanan Semasa Tempoh Kawalan Pergerakan PKP
Sejak negara kita dilanda wabak Covid-19, ramai yang terkena tempias impak dari wabak tersebut. Artikel kali ini berkongsi info berkaitan cara mengurus stress dengan betul.
Keadaan makin meruncing apabila bilangan kes tidak menunjukkan tanda-tanda yang wabak ini berjaya dikawal.
Usaha kerajaan menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seolah tiada makna.
Tekanan mental bukan saja dirasai oleh petugas barisan hadapan malah sebilangan besar masyarakat turut mengalami kesannya.
Antaranya tekanan mental dan emosi apabila ramai di kalangan mereka yang hilang pekerjaan, dibelenggu hutang piutang, kerugian besar dalam perniagaan, pertengkaran dalam keluarga dan sebagainya.
Menurut laporan Berita Harian pada 1 Julai 2021, sebanyak 1099 kes bunuh diri sejak tahun 2020 sehingga tahun 2021.
Turut dilaporkan kaedah bunuh diri yang lazim ialah 75.1% menggantung diri, 13.6% terjun bangunan dan 5.7% minum racun.
Sementara sebanyak 465 kes cubaan bunuh diri pada tahun 2020 dilaporkan oleh Sinar Harian pada 10 september 2020.
Angka di atas secara jelas menunjukkan bahawa status kesihatan mental rakyat Malaysia dalam keadaan yang membimbangkan.
Kajian yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati kegelisahan tercetus daripada:
- Rasa bimbang dengan kemungkinan ahli keluarga mereka dijangkiti Covid-19
- Rasa takut kehilangan orang yang tersayang.
- Rasa tidak mampu untuk melindungi orang yang tersayang
- Tekanan apabila terpisah dengan keluarga
- Takut untuk mendapatkan rawatan kesihatan kerana bimbang dijangkiti Covid-19 semasa pergi mendapatkan rawatan
- Takut hilang pekerjaan
- Kebosanan akibat terkuurung dikawasan terpencil.
Perkara ini boleh menjadi serius apabila mereka tidak dapat berjumpa rakan-rakan dan keluarga bagi meluahkan kebimbangan mereka.
Jika anda mengalami perubahan seperti sentiasa berasa tidak bermaya dan tidak bersemangat, hilang minat terhadap aktiviti yang anda lakukan, sukar fokus dengan tugasan, lebih suka mengasingkan diri, mengalami gangguan tidur dan selera makan, gagal mengawal emosi, ini bermakna anda memerlukan sokongan mental.
Berikut adalah cara mengurus stress dan tekana. Antara usaha yang boleh dilakukan bagi menjaga kesihatan mental ketika tempoh PKP ini adalah:
1. Menghindari Punca Tekanan
Kehidupan setiap orang dipenuhi dengan pelbagai tuntutan sehingga membebankan fikiran dan emosi.
Namun setiap manusia mempunyai batas kemampuan.
Tinggalkan sebentar masalah yang dihadapi dan cuba alihkan fikiran kepada sesuatu yang membuatkan anda rasa tenang.
Sebagai contoh jika anda surirumah yang pastinya sibuk menguruskan rumah dalam masa yang sama perlu memantau PdPR anak-anak, ambil masa anda untuk bertenang.
Tinggalkan mereka sebentar dan buat perkara lain seperti menyiram pokok bunga, berehat di bilik, membuat panggilan telefon dan berbual dengan orang yang anda percaya.
Ini salah satu cara mengurus stress yang baik kerana kita dapat melupakan seketika memikirkan perkara tersebut. Pada masa yang sama dapat merehatkan minda.
2. Bersenam Secara Berkala.
Pilih senaman yang tidak kompetitif dan munasabah. Sebagai contoh senaman aerobik (senamrobik).
Senaman aerobik terbukti dapat membebaskan hormon endorphin yang mana dapat mambantu anda menjadi lebih tenang dan segar.
Saintis bersetuju bahawa gerakan senaman aerobik mampu mengurangkan tahap ketegangan, meningkatkan dan menstabilkan mood dan memperbaiki kadar tidur.
Kira-kira 5 minit senaman boleh merangsang kesan anti-keresahan. Pelbagai gerakan senaman aerobik boleh dipelajari melalui YouTube sahaja.
Senamrobik ini boleh dilakukan dirumah, sangat sesuai dilakukan memandangkan dalam tempoh kawalan pergerakan ini kita semua dilarang untuk mengunjungi tempat-tempat rekreasi
3. Hindari Asap Rokok.
Merokok atau menjadi perokok sekunder iaitu menyedut asap rokok dari orang lain sama merbahaya.
Dalam aspek mengurus stress, rokok adalah musuh utama memandangkan nikotin bertindak sebagai perangsang yang akan membawa lebih banyak tekanan.
Dalam satu kajian kesihatan awam oleh Profesor Hagai Levine dari Hebrew University-Hadassah Braun School of Public Health and Community Medicine di Jerusalem mendapati perokok mempunyai risiko mendapat depresi dua kali lebih tinggi berbanding individu yang tidak merokok.
Manakala dalam satu kajian lain mendapati individu yang tidak pernah merokok memiliki kualiti hidup yang lebih baik berbanding individu yang merokok.
Jelas sekali bahawa rokok bukan sahaja bahaya untuk kesihatan fizikal malah bahaya untuk kesihatan mental.
Sekiranya anda adalah perokok, adalah lebih bagus jika anda mengurangkan jumlah mengambilan rokok setiap hari dan rancang untuk berhenti merokok lebih-lebih lagi jika anda seorang bapa.
Sayangilah nyawa anak-anak dan isteri anda.
4. Latihan Pernafasan.
sumber gambar: shape.com
Cara mengurus stree seterusnya adalah dengan membuat latihan pernafasan seperti meditasi, yoga dapat melegakan tekanan terutama bagi mereka yang menghidap kegelisahan (anxiety).
Meditasi dan yoga membantu memperlahankan pernafasan dan memberi ketenangan kepada fikiran anda.
Selain itu terdapat banyak lagi manfaat melakukan meditasi dan yoga.
Antaranya ialah dapat mengubah kelakuan yang menjengkelkan, menarik perkara-perkara positif ke dalam minda, meningkatkan kekuatan memori dan mengurangkan kesan dari pengalaman traumatik.
5. Hubungi Talian Kasih
Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) memandang serius masalah berkaitan gangguan mental dan emosi masyarakat.
Oleh yang demikian, KKM mewujudkan kerjasama dengan MERCY Malaysia, Jabtan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat(KPWKM) bagi mewujudkan talian sokongan mental dan emosi.
Berikut adalah talian yang dapat dihubungi bagi mendapatkan bantuan;
- MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
- Talian Kasih 15999 / WHATSAPP Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
- KSK-Care JAKIM di WHATSAPP 0111-9598214
- Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929
Setiap daripada kita mendapat ujian yang berbeza di saat negara dilanda pandemik ini.
Kita harus lebih peka dengan keadan ahli keluarga dan jiran terdekat yang memerlukan sokongan terutama dari segi emosi.
Diharapkan agar cara mengurus stress dan tekanan ini dapat memberi kesedaran bahawa pentingnya pengurusan mental dan emosi ketika pandemik ini.
Seterusnya dapat menyelamatkan masyarakat daripada menjadi menjadi mangsa kemurungan.
Artikel ini dihantar oleh Nur Saliha. Jika anda berminat untuk menghantar artikel dan mendapat bayaran, sila klik Hantar Artikel untuk maklumat lanjut.
3 thoughts on “5 Cara Mengurus Stress dan Tekanan Semasa Tempoh Kawalan Pergerakan PKP”